Pasukan Respons Kecemasan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mula melaporkan diri ke One Stop Centre di Taman Sri Muda, Shah Alam bermula semalam.

KUALA LUMPUR – Pasukan Respons Kecemasan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mula melaporkan diri ke One Stop Centre di Taman Sri Muda, Shah Alam bermula semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang berkongsi di hantaran Facebooknya berkata, pasukan tersebut berada di lokasi GPS:3.07186, 101.534249.

“KKM menyediakan perkhidmatan kecemasan medikal dan kesihatan awam di lokasi tersebut, triage dan pengangkutan ambulans ke hospital berdekatan,” tulisnya di media sosial.

Taman Sri Muda yang terletak di Seksyen 25, Shah Alam merupakan kawasan yang dilanda banjir teruk sejak 18 Disember lalu.

Tidak hanya itu, angka kematian melibatkan mangsa mati lemas akibat banjir di Shah Alam disahkan seramai sembilan orang.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, pada Ahad lalu, dua mangsa lemas telah dijumpai pasukan bomba manakala tujuh lagi dijumpai semalam yang mana tiga daripadanya adalah wanita manakala baki enam adalah lelaki.

Semalam, seorang lagi mangsa lelaki tidak pasti identiti ditemukan di Pekan Sri Muda disusuli seorang mangsa wanita tidak pasti identiti di perumahan Persiaran Budiman ditemui pukul 5.17 pagi.

Pada jam 8 pagi pula, mayat seorang lagi lelaki bangsa tidak pasti dijumpai bomba di Subtek Bencana Seksyen 25, Shah Alam.

Kemudian pada pukul 9.39 pagi, seorang lagi lelaki bangsa tidak pasti ditemukan dalam longkang di bawah Lebuhraya Elite berhadapan MSU Seksyen 13 dan pukul 4 petang, dua mayat wanita Cina yang lemas ditemukan di rumah teres Seksyen 25 dan pada pukul 7.40 petang semalam, mayat lemas mangsa seorang lelaki India ditemui di Subtek Bencana Seksyen 25.- MalaysiaGazette