Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) memperuntukkan sebanyak RM10 juta bagi membaik pulih sistem pembetungan yang terjejas.

Berdasarkan laporan awal yang diterima SPAN, impak daripada banjir besar telah menyebabkan kerosakan kepada kira-kira 200 loji rawatan kumbahan (LRK) selenggaraan syarikat pembetungan nasional, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd.

Antara kerosakan bagi aset pembetungan awam pasca banjir yang telah dikenalpasti termasuk peralatan loji, panel elektrik, pagar, tembok batu loji, struktur loji, paip, lurang pembetungan, serta jalan laluan masuk dan infrastruktur loji.

Proses baik pulih kerosakan oleh IWK telah bermula dan LRK yang terjejas dijangka kembali beroperasi seperti biasa sebaik sahaja peralatan diganti dan bekalan tenaga elektrik pulih, namun ia memerlukan sedikit masa untuk tujuan pelaksanaan.

Untuk memudahkan urusan mangsa banjir, SPAN dengan kerjasama IWK telah mengusahakan penempatan 32 buah tandas bergerak di lapan pusat penempatan sementara (PPS) yang terdapat di sekitar Selangor dan Pahang.

Pada waktu sama orang ramai dinasihatkan agar mengambil langkah berjaga-jaga ketika menjalankan aktiviti mencuci rumah atau premis perniagaan bagi mengelakkan sebarang implikasi dari pencemaran air dan penyakit bawaan air pasca banjir. – MalaysiaGazette