Foto hiasan

SEREMBAN – Dua puluh kes positif COVID-19 dikesan di sebuah institusi pengajian swasta (IPS) di Jalan Merpati, Kampung Serting Ulu, Jempol membabitkan 45 pengajar dan pelajar.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri S.Veerapan berkata kluster Jalan Merpati Serting itu dilaporkan bermula pada Isnin apabila seorang staf di pusat pengajian itu didapati positif pada 15 Dis lepas dan bergejala.

“Susulan itu, satu saringan yang melibatkan kesemua pelajar dan guru dibuat pada 18 Dis. Sehingga semalam seramai 45 orang telah disaring mendapati 20 positif, 24 negatif, seorang lagi masih menunggu keputusan,” katanya dalam kenyataan.

Katanya kesemua kontak rapat telah dikenal pasti dan diberikan arahan kuarantin.

Pusat pengajian tersebut ditutup bermula 18-28 Dis ini bagi aktiviti disinfeksi oleh Pejabat Kesihatan Daerah Jempol.

— BERNAMA