KUALA LUMPUR – Indeks Harga Pengguna (IHP), penanda aras utama kadar inflasi meningkat 3.3 peratus kepada 124.0 pada November 2021 daripada 120.0 setahun lalu.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan 3.3 peratus pada November 2021 dipengaruhi kenaikan pelbagai barangan terutamanya bagi kumpulan makanan & minuman bukan alkohol, pengangkutan dan perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain.

Peningkatan paling ketara disebabkan oleh harga bahan mentah untuk dimasak yang tinggi.

Ayam yang merupakan komponen terbesar bagi item daging meningkat16.7 peratus kesan daripada kenaikan harga makanan ternakan terutamanya daripada sumber import.

Ikan sumber protein popular dalam kalangan isi rumah Malaysia terutama B40 juga mencatatkan kenaikan harga.

Pada November 2021, harga purata Ikan Kembong meningkat kepada RM15.57 berbanding RM14.68 setahun lalu.

Susu, keju dan telur serta sayur-sayuran pula masing-masing meningkat sebanyak 4.2 peratus dan 3.4 peratus.

Di samping itu, harga bahan api masih kekal tinggi (27.6%) dan kos elektrik meningkat 34.6 peratus setelah diskaun bayaran elektrik berakhir pada bulan September 2021.

”Meskipun peningkatan ketara bagi pengangkutan, makanan dan elektrik, kepelbagaian perbelanjaan isi rumah di Malaysia dan variasi perubahan harga barangan tertentu (meningkat sederhana, kekal dan menurun), secara tidak langsung membantu meredakan kadar inflasi semasa.

”Bagi bulan November 2021, antara barangan yang tidak menunjukkan perubahan adalah perkhidmatan komunikasi, yuran pendidikan dan bayaran tol.
Sementara itu, antara barangan yang menunjukkan penurunan harga adalah pakaian dan kasut (-0.4%) dan vitamin (-1.7%),” katanya.

Tambah beliau, IHP juga boleh dilihat daripada pelbagai dimensi antaranya mengikut kumpulan isi rumah, negeri dan juga inflasi teras bagi mengukur barangan yang lebih stabil dari segi harga dan tanpa kawalan kerajaan.

Indeks bagi kumpulan pendapatan di bawah RM3,000 meningkat 3.3 peratus pada November 2021 berbanding November 2020.

Kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol meningkat 2.9 peratus, 0.2 mata peratus lebih tinggi daripada kumpulan yang sama dalam inflasi utama.

Peningkatan adalah daripada kumpulan daging (9.2%) diikuti oleh minyak dan lemak (6.4%); susu, keju & telur (4.4%) dan ikan & makanan laut (3.6%).

Ayam yang dibelanjakan oleh 86.8 peratus isi rumah B40 meningkat sebanyak 15.1 peratus pada November 202 dan kebanyakan isi rumah B40 (94.7%) juga berbelanja kepada ikan segar dan indeks ini turut meningkat 4.2 peratus pada November 2021.

Indeks Pengangkutan sebanyak 3.5 mata peratus lebih tinggi daripada kumpulan yang sama bagi inflasi keseluruhan dan meningkat 16.2 peratus pada November 2021.

Sementara itu, perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain juga meningkat 2.8 peratus (November 2020: -3.2%).

Penamatan diskaun elektrik di bawah pakej Perlindungan Rakyat Dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang berakhir pada September memberi impak kepada indeks bagi kumpulan pendapatan di bawah RM3,000.”

Mohd Uzir menambah, kenaikan inflasi tidak dapat dielakkan dan selari dengan kenaikan harga bahan api dan makanan global dan inflasi kini berlaku di seluruh dunia.

”Inflasi dijangka terus meningkat kesan daripada harga global bahan api, makanan dan bahan berkaitan pembinaan seperti besi.

”Walau bagaimanapun, inflasi dijangka lebih stabil dengan pelaksanaan Skim Kawalan Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) untuk 12 item makanan yang berkuat kuasa pada 7 Disember 2021 hingga 31 Disember 2021,” ujarnya.

Secara puratanya, inflasi di Malaysia adalah pada kadar 1.6 peratus bagi tempoh 2011 hingga 2021.

Sepanjang tempoh tersebut, inflasi mengalami perubahan berbeza-beza dengan peningkatan tertinggi direkodkan pada April 2017 (4.9%).

Bagi tahun 2021, kadar inflasi bulanan berada pada paras lebih tinggi daripada purata inflasi jangka panjang kesan daripada peningkatan harga pelbagai barangan sejak bulan Mac (1.7%) dan melonjak kepada 4.7 peratus pada bulan berikutnya. – MalaysiaGazette