Sindiket memproses arak tiruan sendiri di dalam serbuah kilang perindustrian di kawasan Kepong didalangi tiga suspek tempatan berjaya ditumpaskan dalam operasi IPD Sentul 20 Disember lalu. Gambar Ihsan IPD Sentul

KUALA LUMPUR –  Polis berjaya membongkarkan satu sindiket memproses minuman keras buatan sendiri yang berselindung di dalam sebuah kilang perindustrian di kawasan Kepong.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, serbuan dilakukan pada 20 Disember lalu, kira-kira jam 6 petang di dua buah premis berasingan di Kawasan Industri Taman Bukit Maluri, Kepong selepas mendapat maklumat.

“Hasil serbuan itu, pasukan polis mencekup seramai tiga orang lelaki warga tempatan yang berusia antara 22 hingga 50 tahun dipercayai terbabit dalam kegiatan memproses minuman keras buatan sendiri serta menyimpan pelbagai jenis arak yang dielak cukai.

“Mereka dipercayai telah beroperasi sejak enam bulan yang lepas,” katanya dalam kenyataan.

Tambah beliau, daripada serbuan itu, polis merampas sebanyak 53 botol arak kosong, 70 botol arak yang berisi, sebuah mesin pengadun, dua bekas air, dua alat timbang sukat, 131 pelekat minuman keras pelbagai jenama serta pelbagai peralatan membancuh turut dirampas.

Keadaan di dalam premis kilang yang memproses arak secara haram di Kepong..Gambar Ihsan IPD Sentul

“Serbuan di premis kedua di lokasi yang sama pula merampas sebanyak 756 kotak minuman keras jenama Tsingtao dan 474 kotak minuman keras jenama Harbine Ice.

“Setiap kotak mengandungi 24 tin minuman yang dipercayai adalah barang tidak berkastam yang nilai dan cukainya dianggarkan sebanyak RM117,912,” tambahnya.

Kesemua suspek kini telah ditahan reman selama tiga hari bermula dari 21 Disember lalu sehingga Khamis ini untuk membantu siasatan lanjut polis.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Membaharui Undang-Undang (Penghapusan Samsu Gelap) 1976 dan Sek 135(1) (d) Akta Kastam 1967 kerana menyedia, mengguna atau membenarkan premis digunakan untuk mengilang samsu gelap serta memiliki, menyimpan, mengangkut, menghantar, mengedar, menyorok serta menjual minuman keras seludup,’ ujarnya.

Rampasan arak di dalam kilang kawasan  perindustrian di kawasan Kepong oleh  IPD Sentul pada 20 Disember lalu. Gambar Ihsan IPD Sentul

Tegas Eng Lai, bagi kesalahan dibawah Sek 6(1) Akta Membaharui Undang-Undang (Penghapusan Samsu Gelap) 1976 jika disabitkan kesalahan akan dipenjarakan selama suatu tempoh tidak melebihi 10 tahun dan tidak kurang daripada empat tahun dan hendaklah juga dikenakan sebat tidak kurang dari dua kali jika melakukan kesalahan tersebut.

Manakala bagi kesalahan dibawah Sek 135(1) (d) Akta Kastam 1967, jika disabitkan dengan kesalahan, hukuman denda tidak lebih 10 kali ganda jumlah cukai kastam atau RM500,000 mengikut mana- mana jumlah lebih besar atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya. – MalaysiaGazette