Datuk Seri Hamzah Zainudin. Foto FAREEZ FADZIL, 22 DISEMBER 2021.

PUTRAJAYA – Penduduk di kawasan perumahan yang telah dinaiki air dinasihat supaya mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diminta berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi mengelakkan terperangkap dalam banjir.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, mangsa banjir tidak perlu bimbang kerana kawasan kediaman mereka akan dikawal pihak berkuasa.

Kata beliau, jika semua penduduk akur dengan arahan dan nasihat pihak keselamatan, ia akan memudahkan polis untuk menjaga harta benda dan kediaman mereka.

“Namun, jika penduduk masih berdegil dan enggan meninggalkan rumah dengan alasan untuk menjaga harta benda di rumah mereka daripada dipecah masuk pencuri, ia akan merumitkan lagi keadaan sedia ada yang kelam kabut selepas banjir berlaku dan bekalan air dan elektrik terputus.

“Contohnya pada Sabtu lalu kami meninjau di kawasan terbabit, pegawai membuat hebahan meminta semua penduduk kalau boleh tinggalkan rumah dengan segera kerana kita dimaklumkan hujan ini tidak akan berhenti (untuk) beberapa jam lagi dan kita menjangkakan air akan naik.

“Apabila hebahan meninggalkan rumah itu dibuat, ada yang tinggalkan rumah untuk ke PPS dan ada juga yang tidak mahu meninggalkan rumah mereka sebelum dalam keadaan cepat berlaku hujan, banjir yang tiba-tiba dalam tempoh secepatnya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan watikah pelantikan Timbalan Ketua Polis Negara kepada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Komisioner Datuk Razarudin Husain@Abd Rasid di sini, hari ini.

Razarudin akan menggantikan Datuk Seri Mazlan Lazim yang akan bersara wajib pada Sabtu ini.

Menurut Hamzah, banjir yang menyebabkan bekalan elektrik di perumahan terputus menyukarkan pasukan keselamatan mengenalpasti jalan yang ditenggelami air dalam usaha mencari dan menyelamatkan mangsa banjir.

“Oleh demikian, saya menasihati mereka yang masih lagi tinggal di rumah, tolonglah memberi kerjasama kepada kami, jika pegawai dan anggota buat siaran mengarahkan mereka keluar dan tinggalkan rumah untuk ke pusat pemindahan, sila patuhi segera arahan itu dan jangan risau kerana kawasan rumah anda kami akan jaga sebaik-baiknya,’ ujar beliau.

Sementara itu, Hamzah memberitahu, terdapat dalam kalangan pegawai dan kakitangan Kementerian Dalam Negeri yang turut terjejas dengan banjir dan sumbangan telah dihulurkan kepada mereka. – MalaysiaGazette