Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin (dua kiri) menyerahkan Watikah Pelantikan Timbalan Ketua Polis baharu kepada Datuk Razarudin Husain @ Abd Rasid (kanan) sambil diperhatikan Ketua Setiausaha KDN, Datuk Ahmad Dahlan Abdul Aziz (kiri) di Putrajaya. Foto FAREEZ FADZIL, 22 DISEMBER 2021.

PUTRAJAYA – Pelantikan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Komisioner Datuk Razarudin Husain@Abd Rasid sebagai Timbalan Ketua Polis Negara (KPN) yang baharu telah diperkenan Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ria’yatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Razarudin akan menggantikan Datuk Seri Mazlan Lazim yang akan bersara wajib pada 25 Disember ini.

“Atas perkenan YDPA dengan nasihat Perdana Menteri dan perakuan Suruhanjaya Perkhidmatan Polis (SPP), saya menyerahkan pelantikan Razarudin sebagai DIG (Timbalan Ketua Polis Negara) ke-28.

“Beliau akan memulakan tugas sebagai pegawai nombor dua PDRM berkuatkuasa 26 Disember ini,” katanya pada sidang media selepas menyerahkan watikah pelantikan, di sini, hari ini.

Pelantikan itu disaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abd Aziz dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Menurut Hamzah, pelantikan Razarudin adalah mengikut apa yang termaktub dalam Fasa 4 dan 5 Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan, bagi menggantikan Mazlan Lazim yang akan bersara wajib pada Sabtu ini.

“Sekalung penghargaan kepada Mazlan atas jasa perkhidmatan beliau kepada negara dan tahniah pelantikan Razarudin sebagai DIG (Timbalan Ketua Polis Negara).

“Razarudin selama menjadi Pengarah Jabatan Narkotik Bukit Aman memiliki rekod perkhidmatan cemerlang dalam melumpuhkan dan memerangi jenayah dadah seluruh negara.

“Saya percaya gandingan baharu beliau dengan IGP (Ketua Polis Negara) saya percaya akan memantapkan lagi gerak kerja pasukan PDRM dalam memelihara keselamatan dan ketenteraman awam,” ujarnya.

Ditanya mengenai pegawai kanan yang akan menggantikan Razarudin, Hamzah berkata, ia akan diumumkan dalam waktu terdekat. – MalaysiaGazette