Gambar hiasan

BENTONG – Misi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi mangsa yang dikhuatiri hilang dibawa arus sungai di kawasan chalet pusat peranginan di Bentong pada Sabtu lepas, akan difokuskan kepada kawasan tepi hutan berhampiran Lebuhraya Karak menghala Kuala Lumpur esok.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bentong, Mohd Zamri Abdul Ghani berkata, pihaknya percaya mangsa lelaki itu berkemungkinan berada berdekatan kawasan berkenaan namun terdapat kesukaran mencarinya memandangkan kawasan itu terdapat pasir jerlus, longgokan kayu-kayan dan ia masih dipenuhi air.

“Operasi SAR ditangguhkan pada 6.30 petang tadi dan akan bersambung 8.30 pagi esok,” katanya kepada Bernama hari ini.

Setakat ini, dua mayat ditemukan iaitu seorang wanita dikenal pasti sebagai Yap Koon Lau dan satu mayat kanak-kanak lelaki.

Pada Sabtu lepas, lebih 30 orang termasuk sembilan kanak-kanak berdepan detik cemas apabila terkandas dalam kejadian banjir lumpur ketika mengunjungi sebuah kawasan chalet di Bentong.

Susulan itu, seorang kanak-kanak dikenali sebagai Emmanuel Chang serta pasangan suami isteri Bobby Lim Yoke Hoong  dan Yap dilapor hilang dalam tragedi itu. – Bernama