Sukarelawan UPSI bertungkus-lumus membantu mangsa banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam.

KUALA LUMPUR – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menggerakkan sukarelawan membabitkan kakitangan dan mahasiswa menerusi ResQ Team membantu mangsa banjir di empat lokasi berasingan.

Selain membantu mangsa banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam, ResQ Team bergerak ke Bentong, Pahang menyampaikan sumbangan tuala, selimut, baju sejuk, minuman dan wang tunai yang disampaikan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang turun padang.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, apabila masyarakat mengalami musibah banjir, UPSI bertindak proaktif menggerakan ResQ Team untuk turun padang membantu mangsa-mangsa yang terlibat.

Misi bantuan di Bentong, katanya, diketuai Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat, Prof Madya Dr Mohd Izwan Shahril bersama 11 anggotan sukarelawan ResQ Team dengan menggunakan tiga kenderaan pacuan empat roda untuk membawa barang keperluan, dinghi, tong minyak serta jaket penyelamat.

Beliau berkata KPT memberi tanggungjawab kepada UPSI untuk mengetuai zon utara bersama 4,000 sukarelawanan dari universiti awam dan alumni untuk membantu mangsa banjir.

Katanya, universiti berperanan melahirkan mahasiswa yang cemerlang akademik, namun turut berperanan melahirkan mahasiswa yang memiliki sifat kesukarelawan yang tinggi sebelum tamat pengajian,” katanya.

Tiga hari lalu UPSI menghantar ResQ Team diketuai pensyarah kanan, Dr Omar Firdaus Mohd Said membantu mangsa banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam seterusnya membantu komuniti di Padang Jawa, Klang.

Semalam UPSI menghantar 50 lagi kakitangan dan mahasiswa menyertai misi sukarelawan pasca banjir ke Kampung Kuala Slim yang diketuai pensyarah kanan Jabatan Pengajian Kemasyarakatan dan Kewarganegaraan, Fakulti Sains Kemanusiaan, Mohamad Basri Jamal.

Sebelum ini, katanya, UPSI menjalankan lebih 40 misi bantuan terhadap mangsa banjir termasuk di Perak, Pahang, Kelantan, Johor dan Kedah. – MAlaysiaGazette