Mohamed Azmin Ali menziarahi Abdul Razak Majit dan Haikal Faiz di kediaman mereka di Kampung Padang Jawa, Shah Alam.

KUALA LUMPUR – Abdul Razak Majit yang baru sahaja kehilangan isteri dan lapan orang anaknya akan diserapkan sebagai kakitangan sepenuh masa SIRIM Berhad.

Sebelum ini, Abdul Razak adalah pekerja kontrak syarikat itu.

Malah, SIRIM dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) juga akan menanggung sepenuhnya perbelanjaan pendidikan satu-satu anaknya yang tidak terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya Elite itu, Haikal Faiz Abdul Razak.

Dalam kejadian menyayat hati itu, Abdul Razak terselamat dan mengalami kecederaan manakala isteri dan lapan orang anaknya maut.

Menteri MITI, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, hasrat itu telah dinyatakan SIRIM semasa menziarah kediaman Abdul Razak di Kampung Padang Jawa, Shah Alam ketika misi bantuan banjir MITI dan agensi hari ini.

”Insya-Allah, MITI akan terus memastikan kebajikan Encik Abdul Razak dan Haikal Faiz tidak akan diabaikan. ‘Semoga komitmen Sirim ini akan dapat membantu Haikal Faiz mencapai impiannya dan memudahkan urusan Abdul Razak

”Walaupun tidak berada di tempat mereka, tapi saya dapat merasai kesedihan dan kehilangan yang dialami dua beranak ini. Ketabahan dan ketahanan emosi Abdul Razak sangat dikagumi apatah lagi apabila diuji dengan dugaan yang cukup berat ini, kehilangan orang tersayang dan sekali lagi berdepan ujian apabila kediamannya turut dinaiki air.

”Paling menyentuh perasaan saya apabila beliau memberitahu, walaupun perit untuknya menerima kenyataan yang berlaku, tapi beliau reda dengan ujian Allah SWT dan berdoa supaya roh isteri serta anak-anaknya ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

”Haikal Faiz juga walaupun masih muda tetapi cukup kuat dan mampu menerima apa yang berlaku.

”Semoga Haikal Faiz dapat menjadi anak yang soleh dan berbakti kepada keluarga. Jangan pernah lupa untuk mendoakan arwah ibu dan adik beradiknya yang telah pergi bertemu Ilahi,” katanya. – MalaysiaGazette

Zakat LZS