Ismail Sabri Yaakob interest-free personal loan flood victims moratorium
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Pembiayaan kewangan peribadi tanpa faedah sehingga RM5,000 ditawarkan oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) kepada mangsa-mangsa banjir besar di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Kuala Lumpur dan Selangor baru-baru ini.

Sebanyak RM100 juta diperuntukkan bagi tujuan ini untuk meringankan beban mangsa-mangsa banjir membeli peralatan dan kelengkapan rumah yang musnah akibat bencana.

Selain itu, moratorium (rehat bayaran) selama enam bulan pertama ke atas pembayaran ansuran bulanan dan terbuka kepada mangsamangsa banjir di seluruh negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beberapa agensi kerajaan dan sektor perbankan akan melaksanakan beberapa inisiatif bagi meringankan beban rakyat dan perniagaan terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terkesan akibat bencana banjir.

Ia termasuk bantuan bayaran balik pinjaman untuk mangsa-mangsa banjir bagi pinjaman perumahan dan hartanah, kenderaan, kad kredit serta pinjaman peribadi sehingga enam bulan.

Antara kemudahan termasuklah penangguhan atau pengurangan bayaran balik ansuran.

Tekun Nasional pula mengkhususkan dana berjumlah RM30 juta untuk Pinjaman Pemulihan Banjir Pembiayaan bagi PKS mikro yang terkesan.

Bagi pinjaman sehingga RM10,000, tiada kadar faedah dikenakan dan moratorium bayaran balik diberikan untuk 12 bulan.

Bank Negara Malaysia (BNM) juga telah mengumumkan kemudahan pembiayaan sebanyak RM200 juta yang disediakan untuk PMKS yang terjejas melalui Kemudahan Bantuan Bencana 2022 (DRF 2022).

BNM juga sedang berusaha untuk menambah peruntukan ke atas DRF 2022 yang diumumkan baru-baru ini, daripada RM200 juta kepada RM500
juta berdasarkan keperluan semasa.

”Kesemua inisiatif di atas ini adalah lanjutan daripada bantuan kerajaan yang telah saya umumkan sebelum ini termasuk Bantuan Wang Ihsan (BWI) berjumlah RM1,000 bagi setiap ketua isi rumah, bagi membantu meringankan beban Keluarga Malaysia yang terkesan akibat banjir,” ujarnya dalam kenyataan di sini. – MalaysiaGazette