TEMERLOH – Di sebalik musibah banjir, penduduk di sini juga mendapat rahmat mendapatkan rezeki dengan menjala dan menahan jaring bagi mendapatkan ikan.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati hampir 50 penduduk bersantai di bawah Jambatan Sultan Ahmad Shah melakukan aktiviti menangkap ikan di Sungai Pahang.
Salah seorang daripadanya, Abdul Rahman Abdul Malik, 28, tidak menyangka hasil tangkapannya lumayan sambil beriadah bersama kawan-kawan.
Sememang hobinya memancing, beliau tidak melepaskan peluang untuk menjala bermula pukul 8 malam tadi dan berjaya menjala lima ekor patin bersaiz besar dan seberat 50 kilogram.
“Kali pertama mendapat hasil yang besar seperti ini, separuh daripadanya akan dijual dan nak makan sendiri.
“Mula nampak air tinggi, bila nampak air surut baru berani menjala, ramai yang datang tadi dapat hasil lebih besar sejak awal pagi,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.
Naim Murad, 30, juga tidak melepaskan untuk menahan jaring dan memukat bersama rakan-rakan sementara menantikan syifnya bekerja.
“Menahan pukat ini hanya suka-suka dapat juga rezeki ikan tilapia dan ikan patin setiap kali musim banjir. Rezeki musim banjir ini dari limpahan air Sungai Pahang dan Taman Tasik Temerloh,” katanya. – MalaysiaGazette