Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani bercakap pada sidang media khas mengenai situasi terkini keadaan banjir Selangor di Pos Kawalan Taman Sri Muda Shah Alam. Foto AFFAN FAUZI, 23 DISEMBER 2021.

SHAH ALAM – Sebanyak 37 kematian di seluruh negara setakat ini akibat banjir yang berlaku baru-baru ini.

Daripada jumlah keseluruhan itu, lima kematian terkini direkodkan semalam mankala 10 lagi masih hilang, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani. 

“Dukacita dimaklumkan semalam berlaku kemalangan mengakibatkan kematian dan mangsa yang hilang.

“Semalam lima kematian, empat dewasa, satu kanak- kanak dan dua mangsa masih hilang,” katanya ketika sidang media di Pos Kawalan Tempat Kejadian, di Sri Muda hari ini.

Tambah Acryl, sehingga kini seramai 68,341 mangsa banjir di telah ditempatkan di 396 buah Pusat Penempatan Sementara (PPS) yang telah dibuka.

“Jumlah mangsa banjir ini melibatkan 18,080 buah keluarga,” katanya lagi.

Sebagai rekod, sebanyak tujuh buah negeri yang terjejas akibat banjir iaitu Perak, Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Kelantan dan Melaka.

Antara kesemua negeri berkenaan, sehingga kini Pahang masih terjejas teruk.

Mengulas lanjut Acryl berkata, statistik kematian yang diterima oleh polis adalah berdasarkan laporan yang telah diterima.

“Setiap kematian wajib dilaporkan kepada polis mengikut Tatacara Jenayah CPC. Jadi setiap kematian akan dicatatkan sebagai statistik yang diterima,” katanya lagi.-MalaysiaGazette