KOTA TINGGI – Seramai 55 penduduk Kampung Orang Asli Sungai Selangi, Sedili Besar dekat sini positif Covid-19.
Pegawai Daerah Kota Tinggi, Datin Paduka Hazlina Jalil berkata, semua Orang Asli itu disahkan positif selepas menjalani ujian calitan Polymerase Chain Reaction (PCR) Covid-19.
“Tiga penduduk telah dimasukkan ke Hospital Kota Tinggi (HKT) manakala 52 penduduk telah dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Olive Permai.
“Bagi penduduk yang dikategorikan sebagai kontak rapat telah diberikan arahan perintah pengawasan di rumah (HSO),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Hazlina, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kota Tinggi sebelum itu menerima notifikasi terdapat banyak kes bergejala di kampung berkenaan pada Selasa lalu.
Ekoran itu kampung berkenaan diletakkan di bawah zon merah Covid-19.
Menurutnya, keadaan di kampung itu bagaimanapun terkawal di bawah penyelarasan pejabat daerah dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM), polis dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).
Meskipun begitu, pada masa ini, katanya, kampung berkenaan tidak diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Punca penularan di kawasan itu juga masih dalam siasatan pejabat kesihatan daerah.
“Penduduk dinasihatkan untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan segera melakukan ujian Covid-19 sekiranya bergejala,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain berkata, pihaknya segera menyampaikan sumbangan berbentuk barangan makanan untuk penduduk yang terlibat.
Pengagihan bakul makanan dari rumah ke rumah dilakukan pihak KKM sebagai langkah pencegahan mengelakkan penularan.
“Kita mendoakan semoga masyarakat Orang Asli kaum Kanaq di kampung berkenaan yang dikuarantin akan segera sembuh dan dipermudahkan segala urusan.
“Semoga dengan sedikit sumbangan ini juga dapat membantu meringankan beban mereka terutamanya bagi mereka yang menerima arahan HSO,” katanya.- MalaysiaGazette