Pekerja kontraktor membuang sisa barangan sampah ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette pasca banjir berikutan hujan lebat yang berterusan di Hulu Langat, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 24 DISEMBER 2021.

HULU LANGAT – Bencana banjir yang melanda kawasan Hulu Langat di Selangor sejak Sabtu lalu menghasilkan jumlah sampah yang cukup luar biasa.

Malah timbunan sampah dapat dilihat di tepi-tepi jalan di sepanjang kawasan yang dilanda banjir.

Bagi pekerja KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEB) iaitu syarikat penuh milik Kerajaan Selangor, kebiasaannya sebelum ini mereka hanya mengutip dan melupuskan sampah yang rata-rata adalah serpihan pokok dan ranting sahaja.

Namun sejak Isnin lalu, senarionya cukup berbeza kerana sampah yang dikutip kebanyakkannya melibatkan perabot dan tilam yang dipenuhi selut.

Bagi pemandu lori sampah KDEB, Mohd. Faizal Sainun, rutin kawasan kutipan dia dan rakan-rakan juga sudah bertukar di mana sebelum ini di Kajang.

Pemandu lori, Faizal Sainun bercakap semasa ditemubual ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette pasca banjir berikutan hujan lebat yang berterusan di Hulu Langat, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 24 DISEMBER 2021.

“Saya keluar rumah dari Semenyih pukul 6.30 pagi dan kami mula mengutip sampah sekitar pukul 7.30 pagi dan selesai pukul 2 petang.

“Sejak Isnin lalu, satu pusingan kutipan melibatkan anggaran sampah sehingga empat tan dan kami hanya mampu melakukan kutipan untuk dua pusingan sahaja.

“Kami tidak mampu buat lebih daripada itu kerana sampah yang banyak dan kekangan masa untuk menghantar ke pusat pelupusan sampah pula,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette, di sini, hari ini.

Pekerja kontraktor membuang sisa barangan sampah ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette pasca banjir berikutan hujan lebat yang berterusan di Hulu Langat, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 24 DISEMBER 2021.

Mohd. Faizal yang baru setahun lebih berkhidmat dengan KDEB berkata, ketika ini almari, perabot dan tilam antara sampah yang banyak dikutip kesan daripada bencana banjir itu.

Padahal katanya, sebelum ini, pada hari kebiasaan, mereka hanya mengutip sampah yang melibatkan pokok-pokok sahaja.

“Ini pengalaman pertama saya mengutip sampah selepas bencana banjir. Malah pada hari Isnin mula mengutip sampah masih ada tempat yang masih dinaiki air seperti di Taman Desa Raya.

“Saya amat berasa simpati dengan mangsa-mangsa yang dilanda banjir dan tidak menyangka kesannya seteruk begini,” katanya. – MalaysiaGazette