KUANTAN – Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dengan kerjasama Majlis Pengakap Kelana Negeri Pahang menubuhkan Kuantan Mobile We Care bagi membantu mangsa banjir di sini.
Datuk Bandar Kuantan, Datuk Hamdan Hussin berkata, ia membabitkan pengumpulan dan pengagihan pakaian terpakai, lampin bayi dan air mineral hasil sumbangan komuniti peniaga ke kepada mangsa banjir.
“Pakaian yang disumbangkan dipilih dan disaring bagi memastikan hanya yang berkeadaan baik sahaja diagihkan bagi membantu meringankan mangsa banjir secara sistematik dan kemas di PPS sekitar Kuantan
“Kerja-kerja saringan ini dilaksanakan oleh kakitangan MBK bersama ahli NGO Majlis Pengakap Kelana Negeri Pahang di Dewan Kubang Buaya,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette, di sini, hari ini.
Jelas Hamdan, inisiatif ini tercetus hasil perbincangan Jabatan Pembangunan Komuniti dan Perkhidmatan Perbandaran dan Jabatan Pembangunan Perniagaan dan Pelesenan MBK bersama Majlis Pengakap Kelana Negeri Pahang, syarikat Nasuha Bundle dan syarikat DelawoEmpire
“Kolobarasi ini bagi untuk mewujudkan kaedah kolaboratif pintar berkonsepkan ‘Komuniti membantu Komuniti’ dengan MBK sebagai medium pengurus dan pemudah cara,” ujarnya.
Dalam pada itu, MBK mengalu-alukan NGO dan komuniti peniaga untuk bersama-sama menyumbang bagi menjayakan program itu. – MalaysiaGazette