PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

SEREMBAN – Tiga kes Macau Scam direkodkan di Port Dickson dalam sehari membabitkan kerugian berjumlah RM33,653.29 semalam, kata Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supt Aidi Sham Mohamed.

Beliau berkata, kes pertama melibatkan seorang lelaki berusia 51 tahun bekerja sebagai penyelia tapak projek yang mendakwa mengalami kerugian RM11,153.29 akibat diperdaya seorang individu menyamar sebagai pegawai bank.

“Mangsa dimaklumkan terdapat penggunaaan kad kredit atas namanya digunakan untuk pembelian bitcoin sebelum panggilan disambungkan kepada pegawai Bank Negara.

“Bagi tujuan siasatan pihak polis, dia diminta untuk menyerahkan butiran perbankan akaun bank miliknya dan kemudian mangsa mendapati wang sebanyak RM11,153.29 telah dipindahkan kepada individu tidak dikenali,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bagi kes kedua pula, wanita berusia 26 tahun bekerja sebagai pegawai khidmat pelanggan menerima panggilan daripada seorang individu menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memberitahu mangsa mempunyai tunggakan cukai atas nama syarikat didaftarkan atas namanya.

Kemudian panggilan itu disambungkan kepada Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Terengganu dan mangsa diminta untuk menyerahkan butiran perbankan akaun bank bagi tujuan siasatan, menyebabkan dia mengalami kerugian sebanyak RM13,900 selepas mendapati wang itu dipindahkan kepada individu tidak dikenali.

Sementara itu, bagi kes ketiga turut menggunakan modus operandi sama iaitu mangsa seorang pesara swasta lelaki berusia 62 tahun menerima panggilan daripada individu yang menyamar sebagai pegawai bank.

“Mangsa dimaklumkan terdapat penggunaaan kad kredit atas namanya dan digunakan untuk pembelian bitcoin. Dia diminta ke mesin ATM terdekat untuk mengubah had pengeluaran dan membuat pemindahan wang kepada akaun yang tidak dikenali,” katanya sambil menambah mangsa kerugian RM8,600 akibat ditipu.

Katanya, kesemua mangsa yang menyedari ditipu membuat laporan polis semalam dan kes disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Aidi Sham menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai panggilan yang memaklumkan mereka sebagai badan penguat kuasa atau institusi kewangan selain tidak mendedahkan butiran perbankan kepada pihak tidak dikenali bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan. – Bernama