Polis menunjukkan ganja seberat 142.3 kg bernilai RM355,785 yang dirampas dalam enam serbuan sekitar Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang.

BUKIT MERTAJAM – Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran ganja dengan tertangkapnya lima individu dalam enam serbuan berasingan di sekitar Seberang Perai Tengah di sini, bermula 17 Disember hingga kelmarin.

Serbuan dijalankan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT)  itu membawa kepada rampasan 198 ketulan mampat ganja seberat 142.3 kilogram (kg) bernilai RM355,785.

Ketua Polis Daerah SPT, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, kesemua lelaki berusia lingkungan 30 hingga 52 tahun itu ditahan secara berasingan membabitkan lokasi kediaman serta rumah kedai.

Shafee menunjukkan ganja yang dibungkus untuk dijual sindiket pada pasaran penagih tempatan.

Hasil siasatan mendapati sindiket berkenaan aktif sejak Jun lalu dan ganja tersebut untuk pasaran tempatan, katanya.

“Serbuan pertama pada Jumaat lalu, di sebuah rumah di Seberang Jaya yang membawa kepada tangkapan seorang lelaki bersama enam ketulan mampat ganja seberat 5.2 kg.

“Susulan itu, lima lagi serbuan dilakukan di Bukit Mertajam, Permatang Pauh serta Seberang jaya membawa kepada rampasan 137.2 kg serta tangkapan empat lelaki.

Wang tunai turut dirampas dalam serbuan tersebut.

“Turut dirampas dalam serbuan itu, empat buah kenderaan bernilai RM123,000 serta wang tunai RM10,600. Secara keseluruhan nilai dadah dan rampasan berjumlah RM489,385,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah SPT di sini hari ini.

Tambah Shafee, hasil ujian saringan air kencing mendapati tiga daripada lima suspek itu positif dadah selain mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah serta jenayah.

“Masing-masing mereka terdiri daripada pekerja kilang, peniaga dan penganggur itu direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujar beliau. – MalaysiaGazette