Anggota polis membawa tiga suspek (suspek utama Shanmugavadivelu (pertama dari kiri) untuk didakwa bagi kes tikam mati mangsa dalam pergaduhan pada hari Deepavali dalam satu kejadian di Taman Balakong Jaya November lalu di Kompleks Mahkamah Kajang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 24 DISEMBER 2021.

KAJANG – Seorang penganggur  berdepan dengan hukuman ke tali gantung apabila telah didakwa membunuh seorang kenalannya semasa minum bersama dalam kejadian pada 4 November lalu di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Tertuduh, Shanmugavadivelu Mogan, 25, mengangguk kepala sebagai memahami pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Syahrul Sazly Md.Sain.

Tertuduh sebelum itu telah dibawa ke mahkamah bersama dua lagi rakannya yang didakwa bersubahat dalam pembunuhan tersebut dengan tangan bergari dan diringi tiga anggota polis ke mahkamah jam pukul 9 pagi.

Mengikut fakta pertuduhan, Shanmugavadivelu didakwa melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian ke atas mangsa, Abdul Syahid Abdullah, 29.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 4 November lalu antara pukul 7 hingga 8.45 pagi di tepi jalan Jalan Balakong 6, Taman Balakong Jaya.

Tertuduh didakwa atas kesalahan itu dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Namun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang berdiri di kandang pertuduhan di mahkamah.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Siti Nurul Husnah Amran.

Tertuduh diwakili oleh peguam, T. Gunalan manakala kes penyiasatan telah dikendalikan oleh pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan, Vekram Sinnaiah.

Siti Nurul mencadangkan mahkamah untuk menetapkan satu tarikh bagi penyerahan dokumen laporan forensik dan bedah siasat mangsa.

Majistret Syahrul Sazly kemudian menetapkan 3 Februari 2022 sebagai tarikh sebutan semula kes dan penyerahan dokumen.

Manakala lima lagi suspek yang telah ditahan dalam insiden berkenaan kerana disyaki bersubahat dalam kes berkenaan telah dijadikan saksi pendakwaan kes tersebut.

BACA ARTIKEL BERKAITAN: 

Terdahulu pada 18 Disember lalu polis telah melancarkan pemburuan tiga suspek termasuk tertuduh selepas seorang lelaki kenalan mereka yang ditikam mereka telah meninggal dunia di Hospital Serdang pada 4 Disember lalu.

Dalam kejadian pada hari sambutan Deepavali pada November lalu, suspek  dan dua lagi rakannya didakwa telah bersubahat menikam belakang badan mangsa yang dikenalinya sebelum parah.

Mangsa telah dimasukkan ke dalam hospital dan diletakkan di bawah rawatan dalam rapi sebelum pihak hospital melaporkan mangsa telah meninggal dunia pada 4 Disember lalu.

Kes itu kemudian telah diklasifikan sebagai bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan disiasat polis.

Rentetan daripada kejadian yang sama, pihak Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang telah berjaya menangkap tiga suspek lelaki yang dipercayai terlibat dalam insiden pergaduhan dan tikaman itu akibat perselisihan faham sesama mereka.

Ketiga-tiga suspek yang ditangkap adalah berusia lingkungan 20 hingga 30an.

Siasatan lanjut polis mendapati beberapa orang suspek yang disyaki terlibat dalam jenayah tersebut masih bebas.

Tertuduh selaku suspek utama telah diburu bersama dua lagi rakannya disyaki bersubahat dalam jenayah itu iaitu Vikneshvarn Thiagarajan, 23, atau nama samaran ‘Sayang’ dan Cheong Chee Min, 25 dengan nama panggilan Che Meng yang juga beralamat di Taman Balakong Jaya.

Hasil hebahan polis itu, suspek utama telah tampil menyerah diri di IPD Kajang pada 19 Disember lalu sebelum dua lagi rakanmnya Sayang dan Che Meng pada 20 Disember lalu sebelum polis melengkapkan kertas siasatan untuk pendakwaan di mahkamah.- MalaysiaGazette