KUALA LUMPUR – Seorang pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Segamat maut selepas lemas di Campsite Agro Farm Aminah Rahmat, Jalan Mahang, dekat Felda Chemplak, Labis.
Ketua Polis Daerah Segamat, Supritendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, pihaknya dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Labis tiba di lokasi kejadian pada jam 11.30 pagi.
Menurutnya, mangsa berada di kawasan tersebut bersama 16 rakan sekuliahnya pada jam 6 petang semalam untuk menyiapkan tugasan pemasaran digital kawasan rekreasi dengan memperomosikan lokasi kejadian.
Mangsa sepatutnya keluar dari lokasi kejadian pada jam 9 pagi ini tetapi bertindak mandi di sebuah kolam yang dijadikan kolam ternakan ikan oleh pemilik campsite bersama empat lagi rakannya pada jam 10.30 pagi.
Ahmad Zamry menambah, mangsa disedari lemas dan tenggelam oleh rakan-rakannya pada jam 11 pagi.
Mangsa, 23, ditemui selepas 15 minit kemudian.
“Pasukan penyelamat cuba memberi bantuan pernafasan sebelum mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 11.40 pagi oleh Penolong Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Labis,” katanya.
Mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Daerah Segamat untuk bedah siasat dan polis akan meneruskan siasatan kejadian lemas tersebut menerusi siasatan kematian mengejut. – MalaysiaGazette