KUANTAN – Semua Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah dinasihatkan untuk menyelaras aktiviti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ingin membantu mangsa banjir.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abdul Latif Ahmad berkata, semua sukarelawan dan pertubuhan digalakkan datang membantu aktiviti pasca banjir.
“PKOB negeri dan daerah perlu mengkoordinasi dan menyelaras NGO yang datang dari pelusuk negara yang nak bantu mangsa banjir.
“Kalau boleh jangan datang lagi, datang bila dah habis bencana baru datang membantu,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja meninjau keadaan mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SMK Bukit Rangin, di sini, hari ini.
Selain itu katanya, PKOB negeri dan daerah perlu memastikan keselarasan data-data berkaitan terutamanya berhubung PPS dan mangsa-mangsa yang berpindah.
Dalam pada itu, pihak pengurusan bencana daerah dan negeri masing-masing diminta untuk menyegerakan jumlah penilaian kerosakan awam dan kediaman yang musnah akibat banjir.
“Perlu menyegerakan penilaian jumlah kerosakan awam dan rumah yang musnah akibat banjir yang melanda melibatkan beberapa buah negeri di Malaysia
Tambahnya, ini supaya penggerak lapangan lebih arif denagn usaha sebenar bagi memudahkan menguruskan permohonan untuk penyelarasan bantuan. – MalaysiaGazette