Pekerja kontraktor membuang sisa barangan sampah ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette pasca banjir berikutan hujan lebat yang berterusan di Hulu Langat, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 24 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Situasi banjir setakat petang ini menunjukkan sedikit ‘sinar’ apabila jumlah lokasi yang terjejas di enam negeri Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu, Kelantan, Pahang dan Kedah, semakin menurun kepada 126 lokasi berbanding Rabu lepas iaitu 210 lokasi.

Pusat Kawalan Operasi Bencana, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, lokasi itu membabitkan lapan daerah di Pahang, Selangor (lima), masing-masing dua di Kelantan, Kedah dan Negeri Sembilan serta satu daerah di Terengganu, yang masih terjejas akibat banjir setakat 6 petang ini.

Menurut kenyataan itu, sebanyak 40 jalan persekutuan dan 83 jalan negeri terjejas akibat kejadian banjir kilat, banjir, cerun runtuh, jalan runtuh, jalan mendap dan jambatan rosak.

Rentetan itu, beberapa laluan masih ditutup untuk semua jenis kenderaan dan 15 laluan dibuka untuk kenderaan berat sahaja.

Kenyataan NADMA itu menyatakan enam laluan sudah mula dibuka kepada semua jenis kenderaan, antaranya Jalan Pekan-Batu Balik dan FT 082 Pekan Batu Balik, Pekan, Pahang.

Menurut aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat 6 petang ini sebanyak 40,738 mangsa banjir dari 11,882 keluarga yang masih berlindung di 257 PPS di lima negeri, berbanding 43,289 orang mangsa banjir tengah hari tadi.

— BERNAMA