Datuk Hasni Mohamad
JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor memperuntukkan RM59 juta bagi kerja-kerja menyelenggara sistem perparitan untuk mengurangkan risiko banjir di negeri itu.

Menteri Besarnya, Datuk Hasni Mohammad berkata, peruntukan itu diharap dapat disegerakan penggunaannya supaya kawasan yang dianggap kawasan panas diatasi.

Peruntukan itu meliputi RM27 juta bagi kerja penambahbaikan manakala RM32 juta untuk penyelenggaran.

“Di Johor, kita tiada masalah bersama jabatan malah aset-aset seperti kenderaan bot, khemah yang perlu dibekalkan dan pusat perpindahan sementara yang terkesan juga mencukupi.

“Mesyuarat dengan jawatakuasa bencana peringkat negeri diadakan dalam memastikan usaha menangani masalah banjir bukan hanya keperluan aset yang cukup mahupun pusat pemindahan sementara (PPS) tetapi tindakan yang cepat diambil semua pihak.

“Saya akan memantau secara berterusan kesiapsiagaan semua jabatan-jabatan dan setakat ini kita tiada sebarang masalah,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelepasan Misi Bantuan Bencana Makmur Johor di Bangunan Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor hari ini.

Sementara itu ditanya berhubung kerajaan menggantung sementara penjualan tiket bas dan penerbangan bagi Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) antara Malaysia-Singapura, Hasni memaklumkan perkara itu diambil sebagai langkah berjaga-jaga berikutan peningkatan kes varian Omicron di Singapura.

Penggantungan sementara penjualan tiket bas dan penerbangan tidak bermakna laluan VTL antara kedua-dua negara itu ditutup.

“Kepada mereka yang telah membeli tiket dari ke dua-dua arah mereka maaih boleh teruskan perjalanan mereka, sempadan tidak ditutup cuma kedua-dua kerajaan berhati-hati.

“Jadi kita bersetuju supaya masalah ini dapat dikawal untuk mengelakkan rasa bimbang kedua-dua negara.

“Kita bersetuju pembukaan VTL darat yang menggunakan kenderaaan awam dapat dikawal dan tidak mahu masyarakat di kedua-dua negara ini bimbang dengan pembukaan sempadan dengan jumlah kemasukan pengembara yang besar boleh jadi punca kepada penularan varian Omicron ini.

“Sekiranya  nampak penurunan, saya yakin dan percaya bahawa kita akan lihat semula dari segi jumlah yang dibenarkan untuk melakukan perjalanan VTL ini,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan keputusan itu dibuat dengan mengambil kira laporan Kementerian Kesihatan Singapura pada 20 Disember lalu, berhubung kejadian satu kluster tempatan Covid-19 membabitkan tiga kes positif termasuk kemungkinan varian Omicron.

Khairy berkata, bagi pengembara yang sudah memiliki tiket perjalanan VTL melalui darat dan udara serta memenuhi syarat yang ditetapkan, boleh meneruskan perjalanan di bawah inisiatif berkenaan.- MalaysiaGazette