Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad pada Majlis Pelepasan Sumbangan Bantuan Banjir Pemuda UMNO Johor dan Rakyat Johor di Pejabat Perhubungan UMNO Negeri Johor di Johro Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor akan menilai reaksi ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) terlebih dahulu sebelum melihat  keberangkalian perlu mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN).

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, perkara itu perlu diteliti terlebih dahulu memandangkan kedudukan kerajaan negeri kini yang kurang stabil dengan hanya kelebihan satu kerusi DUN sahaja.

Bagaimanapun, menurutnya, isu kelebihan satu kerusi sahaja tidak memadai untuk diadakan PRN memandangkan situasi politik di negeri ini berbeza berbanding di Sarawak atau Melaka.

“Dengan keadaan negeri satu majoriti ini saya perlu melihat dan meninjau keadaan semasa. Sama ada kita hendak buat Pilihan Raya Kecil (PRK), Speaker DUN (Suhaizan Kayat) sudah menjelaskan tidak perlu diadakan kerana kita sudah melepasi tempoh tiga tahun.

“Jadi mengenai PRN, jika ada kemungkinan saya perlu melihat kepada keperluan tersebut berdasarkan reaksi terkini Johor masa kini.

“Kemungkinan mengadakan PRN ini saya kira tidak boleh disandarkan seperti mana berlaku di Melaka atau Sarawak. Johor negeri yang unik kerana selama tempoh hampir dua tahun ini kita telah menguruskan perjalanan DUN dengan baik malah berjaya menggubal beberapa dasar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelepasan Sumbangan Bantuan Banjir Pemuda UMNO Johor dan Rakyat Johor di Pejabat Perhubungan UMNO Negeri Johor di sini hari ini.

Hasni berkata, kerajaan akan melihat  melihat daripada semua sudut dalam kalangan ADUN daripada gabungan parti yang ada untuk menubuhkan kerajaan hari ini.

“Semua akan dilihat termasuk pada 6 Januari depan ketika diadakan Persidangan Khas DUN untuk kita meminda Undang-Undang Tubuh Negeri Johor bagi pelaksanaan Undi 18 untuk mereka yang berusia 18 tahun,” katanya.

Sebelum itu bekas Menteri Besar, Datuk Osman Sapian yang juag ADUN Kempas meninggal dunia di kediaman anaknya di Kuala Lumpur pada 22 Disember 2021.

Keadaan itu  sekali gus menjadikan gabungan kerajaan sedia ada kini hanya mempunyai kelebihan satu kerusi iaitu 28 berbanding 27 kerusi milik Pakatan Harapan (PH).

Hasni yang juga Pengerusi UMNO Johor berkata, pihaknya juga akan melihat reaksi terkini ADUN Johor menerusi Persidangan Khas DUN yang akan diadakan pada 6 Januari depan.-MalaysiaGazette