Hishammuddin Hussein

KUALA LUMPUR – Setelah berjaya memindahkan 32,661 mangsa banjir ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) digesa untuk meningkatkan kerja-kerja pembersihan pasca banjir.

Menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, beliau secara peribadi bangga dan terharu dengan usaha seluruh anggota ATM yang ditunjukkan ketika negara dilanda musibah banjir.

Justeru itu, Hishammuddin berkata, pasukan keselamatan itu digesa untuk meningkatkan semangat dan usaha bagi menghadapi cabaran mendatang.

“Mengambil kira kebanyakan kawasan yang mengalami banjir mulai surut, perancangan ATM yang seterusnya di kawasan-kawasan berkenaan ialah untuk meningkatkan lagi pelaksanaan kerja-kerja pembersihan pasca banjir termasuk pencegahan penularan wabak Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hishammuddin berkata, sehingga semalam, sejumlah 988 orang pegawai dan anggota dari seluruh perkhidmatan telah digerakkan di seluruh negara ketika banjir.

Malah 96 aset pelbagai termasuk trak 7 tan, trak 3 tan, trak 1 tan, bot tempur, Outboard Motors (OBM), Helikopter EC725 dan back hoe telah digerakkan ke setiap negeri yang terjejas banjir termasuk Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Kelantan dan Melaka.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, mesyuarat yang berlangsung hari ini turut menumpukan kepada empat perkara utama.

Ia adalah memantau dan menerima laporan operasi semasa, memperkukuhkan operasi sedia ada, memperhebatkan lagi bantuan pasca banjir dan memperincikan serta membuat persediaan bagi menghadapi kemungkinan banjir gelombang kedua.

Hishammuddin berkata, sebagai langkah siap siaga, ATM telah meletakkan satu batalion dalam keadaan bersiapsiaga di setiap negeri untuk diaturgerak ke lokasi terjejas banjir apabila terdapat keperluan.

“Selaras pengumuman YAB Perdana Menteri berkenaan penubuhan pasukan khas pasca banjir dan persediaan gelombang kedua yang akan diterajui oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, saya akan bekerjasama rapat bersama beliau untuk membantu dan memastikan ATM serta MINDEF memberikan kerjasama penuh kepada pasukan khas berkenaan,” katanya.

Hishammuddin juga mengumumkan Kementerian Kewangan telah meluluskan pembelian kecemasan sebanyak 55 unit Outboard Motors (OBM) untuk tujuan itu. – MalaysiaGazette

Lepas selamat mangsa banjir, ATM kini bersih sampah pula