Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Susulan kenyataan terkini kerajaan, jumlah pembiayaan peribadi BSN MyRinggit-i Banjir ditingkatkan sehingga RM10,000 berbanding RM5,000 sebelum ini.

BSN MyRinggit-i Banjir menawarkan kadar 0% untuk tempoh pembiayaan 3.5 tahun termasuk moratorium (rehat bayaran) selama enam bulan pertama ke atas pembayaran ansuran bulanan dan terbuka kepada mangsa-mangsa banjir di seluruh negara. Permohonan ini akan dibuka mulai 27 Disember 2021.

Bank Simpanan Nasional berkata, mangsa-mangsa yang terkesan akibat banjir boleh memohon dengan melengkapkan borang permohonan secara dalam talian melalui laman web rasmi BSN, www.bsn.com.my.

Bagi pemohon yang mempunyai masalah atau tidak mempunyai akses untuk ke laman web berkenaan boleh mengunjungi Cawangan BSN berdekatan bagi membuat permohonan.

Beberapa dokumen perlu disertakan semasa permohonan dibuat iaitu salinan kad pengenalan, salinan bil elektrik rumah yang terjejas dan surat pengesahan daripada Pegawai Daerah/Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung/laporan polis berkenaan rumah yang terjejas.

Menurutnya, BSN akan memaklumkan status permohonan melalui sistem pesanan ringkas (SMS). Pemohon boleh menyemak status permohonan dari semasa ke semasa melalui laman web rasmi BSN. – MalaysiaGazette