Wan Rosdy Wan Ismail bersama-sama sukarelawan membersihkan sekolah Pulau Tawar, Jerantut. FB Wan Rosdy Wan Ismail.

KUALA LUMPUR – Gerakan Anak Pahang Bersatu (Gerap1) terkejut apabila sebuah portal membuat laporan bersifat provokasi terhadap Menteri Besar Pahang yang didakwa hanya melambai kepada penduduk di kawasan-kawasan banjir tetapi tidak turun membantu.

Laporan itu jelas satu fitnah dan posting sengaja menghuru-harakan keadaan, tegas Presiden Gerap1, Fazreen Mohd Ali yang bersama kepimpinan semasa melawat kawasan Chegar Medang, Karak.

Menurutnya, penduduk di sana mengakui Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail telah turun melawat sekitar perumahan tersebut selama 30 hingga 45 minit.

”Apa yang kami dapati ialah tiada isu YAB MB tidak turun dan hanya melambai-lambai dari kereta,” katanya.

Malah, tambahnya, Gerap1 juga telah berjumpa sendiri dengan Mak Cik Salimah Wahab dan anak saudaranya, Mohd Fadzil, yang memberitahu bahawa di menteri besar tidak berhenti di depan rumah mereka dan hanya melambai, bukannya merujuk kepada seluruh kawasan.

Mereka juga tahu menteri besar berada di kawasan perumahan tersebut kerana jiran-jiran telah memberitahu.

”Namun terkejut apabila cerita ini disensasikan. Justeru ini merupakan laporan bersifat fitnah dan fakta tidak tepat yang jelas melanggar etika wartawan.

”Jika Gerap1 boleh turun mendapatkan penjelasan, mengapa tidak portal berkenaan dapatkan kesahihan dahulu sebelum membuat laporan? Difahamkan, sumber yang diambil oleh portal itu adalah daripada Parti Muda yang kebetulan ada di kawasan tersebut.

“Gerap1 sekali lagi memberi amaran kepada semua individu dan media untuk tidak mencampur aduk urusan politik dengan laporan bencana banjir. Dalam rakyat sedang kesusahan, laporan seperti ini lah yang membuat keadaan makin rumit,” ujarnya.

Lantaran itu Gerap1 memberi tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari hari ini untuk menarik posting dan membuat kenyataan maaf atau tindakan saman diambil.

Ini kerana, Gerap1 cukup bukti menteri besar ada dan turun di kawasan tersebut.

”Jangan kerana posting tidak betul dari Malaysiakini rakyat jadi mangsa,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast