garbage disposal solid waste landfill Selangor
Ng Sze Han

KUALA LUMPUR – Badan bukan kerajaan (NGO) dan kontraktor pengangkutan sampah persendirian digesa menghantar sampah ke pusat pelupusan di 11 stesen pemindahan sementara yang telah dibuka setakat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap, Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam Selangor, Ng Sze Han berkata, semua 11 stesen itu melibatkan empat pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Majlis Perbandaran Sepang (MPS) dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

Katanya, semua stesen pemindahan itu sedang digunakan secara optimum dengan lebih 50 mesin jentolak dan jengkaut beroperasi di stesen tersebut.

“Kerajaan Negeri Selangor mengucapkan terima kasih kepada NGO serta kontraktor persendirian yang turut membantu dalam pelaksanaan operasi pembersihan sampah pasca banjir di negeri ini.

“Walaubagaimanapun, pihak kerajaan negeri telah dimaklumkan terdapat sampah yang telah dibuang di kawasan awam termasuk di tepi jalanraya atau di kawasan yang tidak dizonkan sebagai stesen pemindahan ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sze Han berkata, perkara itu akan menyukarkan kerja-kerja pembersihan yang mana KDEB Waste Management atau PBT terpaksa membersihkan kawasan tersebut dan seterusnya melewatkan operasi pembersihan sampah pasca banjir.

Ujarnya, kerajaan Selangor berharap semua pihak dapat bekerjasama untuk membuang sampah-sarap pasca banjir di pusat pemindahan berdekatan atau terus membawa sampah ke Tapak Pelupusan Sampah Tanjung Dua Belas, Kuala Langat dan Jeram, Kuala Selangor.

Tambahnya, tiada bayaran yuran tipping dikenakan di kedua-dua tapak pelupusan sampah itu bagi sampah pukal yang disebabkan bencana banjir.

“Diharapkan dengan kerjasama semua pihak, operasi pembersihan sampah pasca banjir akan dapat selesai dengan kadar segera,” katanya. – MalaysiaGazette