Mangsa-mangsa banjir di Kampung Kolam Air Panas Sentul menerima sumbangan daripada Tycoon Prihatin, hari ini.

KUALA LUMPUR – Mangsa-mangsa banjir di empat kawasan di sekitar Sentul di sini melahirkan rasa syukur kerana akhirnya ada pihak yang prihatin mahu membantu mereka yang dilanda musibah.

Rata-rata mereka ketika ditemui MalaysiaGazette memberitahu, kehadiran NGO Tycoon Prihatin menyampaikan sumbangan beberapa jenis barangan keperluan hari ini memberi nafas lega setelah barang-barang di dalam rumah mereka musnah dalam bencana alam yang turut berlaku di beberapa kawasan di seluruh negara baru-baru ini.

Seorang penerima Rini Lamidi, 43, berkata, dia tidak menyangka ada pihak yang sudi memberikan bantuan berupa barangan dapur serta peralatan tidur selepas kesemua barangan miliknya musnah dalam kejadian banjir pada Sabtu lepas.

Katanya, dia merasa lega kerana NGO terbabit “tidak pilih bulu” dalam menghulurkan sumbangan meskipun dirinya bukanlah warganegara Malaysia sebagaimana yang sering dilakukan oleh kebanyakan pihak.

Rini Lamidi

“NGO ini tidak tanya pun saya ini warga negara Malaysia atau bukan…mereka bagi semua sama rata.

“Tak macam sesetengah orang lain…mereka beri sesuatu nak tengok mereka itu orang Malaysia atau bukan. Kenapa perlu pilih-pilih sedangkan kita semua di sini terjejas dan perlukan ada pihak yang dapat beri pertolongan,” katanya.

Perkara sama turut disuarakan Ida Jamali, 33, yang memberitahu, sepatutnya bantuan kepada mangsa-mangsa banjir tidak memilih siapa penerima dan kewarganegaraan.

Katanya, semua mangsa yang terjejas adalah manusia yang perlu dihulurkan bantuan tidak kira dalam apa jua bentuk dan sumbangan.

“Memang saya berasal dari Indonesia tapi suami saya orang sini (warganegara Malaysia).

Ida Jamali

“Kami juga terjejas dan mengharap ada orang yang bersimpati dapat membantu meringankan beban dan kesusahan yang kami sekeluarga tanggung .

“Saya sangat berharap agar perkara seperti itu (pilih bulu) tidak terjadi lagi dan berlaku adillah kepada kami yang juga makhluk Allah,” katanya.

Sementara itu, Ng Saw Hong , 56, berkata, dia gembira kerana ada pihak yang baik hati dan berlapang dada untuk menyumbang barang-barang yang sememangnya diperlukan selepas hampir kesemua perkasasan di dalam rumahnya rosak akibat banjir.

Katanya, sumbangan berupa dapur memasak dan perlatan tidur seperti bantal, toto dan selimut memang sangat diharapkan kerana barang-barang itu telah musnah keseluruhannya ketika banjir melanda minggu lepas.

Ng Saw Hong

“Barang-barang seperti dapur gas ini memang saya perlukan sebab susah nak memasak jika tiada. Buat masa ini saya belum ada memasak lagi dan makanan hanya dihantar oleh anak-anak yang tinggal tidak jauh dari sini,” ujarnya.

Rakannya, Tan Yoke Yean, 66, yang senasib dengannya pula berkata, kejadian banjir memang sering berlaku ditempatnya, namun, ini pertama kali mereka dikunjungi oleh pihak yang prihatin terhadap nasib mereka.

Dia mendakwa, belum pernah lagi ada pihak yang menghulurkan bantuan sebagaimana yang diterimanya hari ini.

“Mungkin sebab kawasan ini terpencil jadi, mereka semua tak nampak kesusahan yang kami alami.

“Kami sangat hargai usaha yang dibuat oleh mereka yang prihatin ini dan kami harap ia tidak sekadar hanya hari ini sahaja, kerana malang yang kami hadapi adalah seringkali apabila hujan lebat seperti yang terjadi minggu lepas,” katanya.

Tan Yoke Yean

Terdahulu hari ini, NGO Tycoon Prihatin menyampaikan sumbangan kepada kira-kira 1,000 keluarga yang terjejas akibat banjir di empat kawasan di sekitar Sentul.

Antara kawasan-kawasan itu adalah Kampung Chubadak Tambahan, Kolam Air Panas, Kolam Air dan Kampung Kassipilay.

Usaha tersebut mendapat kerjasama daripada anggota Balai Polis Sentul yang turut membantu menyelaras program berkenaan agar dapat berjalan dengan lancar serta mencapai objektifnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast