Ahli-ahli Pasukan Bencana Istana Negara membersihkan kediaman penduduk yang terjejas teruk akibat banjir besar.

KUALA LUMPUR – Pasukan Bencana Istana Negara meneruskan misi bantuan kepada mangsa banjir dengan membantu membersihkan masjid dan rumah mereka yang terjejas.di empat daerah di Klang, Shah Alam, Hulu Langat dan Kuala Langat, semalam.

Istana Negara berkata, pasukan ini ditubuhkan atas cetusan idea Yang di-Pertuan Agong dengan tujuan menghulurkan bantuan dan sumbangan kepada mangsa yang telah hilang tempat berteduh dan mengalami kerugian besar akibat kemusnahan harta benda susulan bencana banjir buruk.

”Seri Paduka Baginda amat prihatin terhadap nasib mangsa banjir dan amat bersimpati dengan ujian serta keperitan yang ditanggung mereka dan menzahirkan harapan semoga bantuan serta sumbangan yang dihulurkan dapat mengurangkan beban mereka,” katanya.

Pasukan Bencana Istana Negara itu diterajui oleh Brigadier Jeneral Datuk Mohd Zahari Yahya, yang juga merupakan Juruiring Udara kepada baginda.

Tambahnya, seramai 120 pegawai dan kakitangan Istana Negara tampil menghulurkan bantuan dan sumbangan kepada mangsa banjir pada misi semalam.

Sumbangan yang dihulurkan berbentuk barang keperluan harian seperti toiletries, pakaian, tuala, makanan kering dan air, termasuk kit Covid-19. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast