Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharudin Mat Taib

KUALA LUMPUR – Polis menafikan dakwaan berhubung isu penduduk di Taman Sri Muda yang diminta membayar wang perlindungan RM100 bagi mengelak kenderaan mereka yang terkandas dirosakkan oleh individu tidak dikenali.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharudin Mat Taib berkata, pihaknya mengesan satu hantaran di laman Facebook yang menggunakan nama “Projek Pokok” yang tular sejak semalam berhubung perkara itu.

Katanya, pasukan Cantas Banjir yang ditubuhkan telah ke lokasi yang didakwa di Jalan Bakti Tiga 25/15C, Taman Sri Muda dan mendapatkan maklumat daripada tetangga di lorong berkenaan.

“Kita dapati tiada insiden sedemikian berlaku, tiada kejadian jenayah dan juga laporan polis dibuat oleh mana-mana pihak berkaitan isu ini.

“Pihak IPD Shah Alam juga telah meminta pemilik Facebook Projek Pokok itu untuk hadir memberikan maklumat lanjut, namun sehingga kini tiada maklumbalas diberikan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Baharudin memaklumkan, Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) yang menempatkan mangsa banjir di Balai Polis Sri Muda akan ditutup pada tengah malam ini.

Manakala, PKTK 2 di Persiaran Kemuning Prima, Kemuning Utama telahpun ditutup tengah malam semalam.

Jelasnya, Pusat Kawalan Operasi banjir di IPD Shah Alam akan beroperasi pada tengah malam esok bagi menggantikan PKTK yang ditutup. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast