Peniaga, Rohaida Mohamad (tengah) mendapat lebih keuntungan hasil dari menjual minyak berikutan penambahan kenderaan yang memasuki Hulu Langat di Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 27 DISEMBER 2021.

HULU LANGAT – Air bah yang membadai beberapa kawasan, di sini, sememangnya menimbulkan kesan yang mendalam khususnya kepada mangsa-mangsa terlibat.

Ia bukan sahaja merosakkan harta benda, malah, turut memarut emosi.

Bagaimanapun, lain pula yang dirasai oleh seorang penduduk di Kampung Sungai Lui apabila banjir besar kali ini menambah rezekinya.

Ini kerana, dia yang menjual petrol di dalam botol di tepi jalan mampu meraih pendapatan tambahan kerana mendapat ramai pelanggan.

Ketika ditemui MalaysiaGazette, Rohaida Mohamad, 45, berkata, dia tidak menyangka kejadian menyayat hati yang dialami oleh penduduk di kebanyakan tempat di Hulu Langat akibat banjir telah menambah sedikit rezeki hariannya.

Katanya, ramai pelanggan yang singgah membeli petrol untuk kegunaan generator ketika kawasan sekitar Hulu Langat terputus bekalan elektrik.

Beliau berkata, ada juga yang membeli petrol untuk menambah bahan bakar kenderaan mereka terutama bagi motosikal dan kereta.

“Alhamdulillah, pendapatan saya bertambahlah sedikit masa banjir kali ini tak macam biasa.

“Saya pun tak sangka ramai yang berhenti untuk beli petrol. Lagipun di sini tak ada stesen minyak dan kalau nak beli pun kena pergi jauh di pekan Semenyih,” katanya.

Peniaga, Rohaida Mohamad mendapat lebih keuntungan hasil dari menjual minyak berikutan penambahan kenderaan yang memasuki Hulu Langat di Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 27 DISEMBER 2021.

Menurut Rohaida, dia tidak mendapat keuntungan yang banyak, sebaliknya hanya beberapa sen sahaja kerana petrol merupakan barang terkawal.

Malah, jika dia cuba menaikkan harga sudah pasti pelangggan-pelanggannya akan marah dan disebabkan itu dia tidak berbuat demikian.

Bagaimanapun kata Eohaida, dia tidaklah terlalu teruja dengan pulangan pendapatan hasil jualan petrol kerana turut bersedih dan merasai penderitaan yang dialami oleh mangsa-mangsa banjir di kawasan-kawasan terbabit.

Ujarnya, apa yang berlaku merupakan satu kejadian bencana alam dan meminta agar mangsa-mangsa banjir bersabar dengan dugaan itu serta berharap akan ada sinar baharu buat mereka satu hari nanti.

Tambahnya, dia bersyukur kerana nasibnya baik ekoran kediamannya terletak di kawasan tinggi dan tidak dinaiki air semasa kejadian air bah itu berlaku.

“Alhamdulillah rumah saya tak dinaiki air masa banjir tempoh hari. Tapi, semasa hujan lebat tidak berhenti itu ada juga rasa takut sebab nampak ada air melimpah  di atas jalan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast