Home Nasional Dakwah zakat tidak pernah ada titik noktah – Syed Ali Alhabshee

Dakwah zakat tidak pernah ada titik noktah – Syed Ali Alhabshee

KUALA LUMPUR – “Kerja dakwah zakat memang tidak akan ada titik noktahnya dan kami sentiasa bertindak selari dengan peredaran zaman.”

Itu penegasan Pengerusi Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Datuk Seri Syed Ali Alhabshee.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa membuat inovasi selaras dengan perubahan dan kemajuan teknologi semasa demi memudahkan proses pembayaran zakat.

“Kalau tengok sekarang kita sentiasa mencari jalan untuk memudahkan pembayar zakat. Dulu pembayar zakat kena datang ke kaunter, kiosk tetapi hari ini pendekatan kita adalah digital.

“Sebab itu zakat sekarang boleh dibayar dengan mudah dengan telefon bimbit, macam-macam kemudahan dan kesenangan supaya mereka tidak perlu datang ke kaunter bayaran,” katanya Ketika ditemui MalaysiaGazette.

Selari dengan slogan PPZ-MAIWP iaitu ‘Memudah Anda Berzakat’, PPZ-MAIWP telah memperkenalkan pelbagai saluran pembayaran dalam talian seperti portal rasmi zakat.com.my, perbankan internet, pembayaran melalui e-Wallet dan terbaharu, aplikasi MyZakat serta kemudahan MyTemujanji turut dilancarkan.

Menurut Syed Ali, dengan kemudahan yang pelbagai itu tiada alasan lagi para pembayar untuk tidak menunaikan zakat atau melengahkannya kerana semuanya kini di hujung jari.
“Peranan PPZ-MAIWP perlu terus diuar-uarkan menerusi pelbagai platform digital.

Menurut beliau, inisiatif itu menampakkan kesan yang positif berikutan sambutan pembayaran zakat secara dalam talian kini semakin memberangsangkan.

Sementara itu, Syed Ali berkata, meskipun rekod PPZ-MAIWP menunjukkan peningkatan semenjak pandemik Covid-19, namun jumlah pembayar zakat masih belum memuaskan.

Temubual Malaysia Gazette bersama Pengerusi Pusat Pungutan Zakat MAIWP, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee di Pejabat PPZ MAIWP, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 15 DISEMBER 2021.

Katanya, sehingga kini terdapat kira-kira 370,000 pembayar zakat di Wilayah Persekutuan dan angka tersebut masih jauh daripada sasaran sejuta orang yang sedang digerakkan oleh agensi itu atau sekurang-kurangnya 500,000 pembayar zakat.

Jelas beliau, matlamat menambah jumlah pembayar zakat bukanlah untuk kepentingan PPZ-MAIWP semata-mata.

Sebaliknya, usaha tersebut bertujuan membantu lebih ramai golongan asnaf di Wilayah Persekutuan secara konsisten apatah lagi dalam waktu pandemik yang telah menjejaskan majoriti penduduk di kawasan bandar.

“Semakin banyak duit yang dikutip itu bukan untuk syok bagi PPZ-MAIWP tapi untuk pihak MAIWP agihkan, agar dapat bantu lebih ramai asnaf terutamanya di Wilayah Persekutuan.

Dalam pandemik ini bakul makanan pun boleh jadi rebutan, sebab ramai yang susah,” katanya.

Temubual Malaysia Gazette bersama Pengerusi Pusat Pungutan Zakat MAIWP, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee di Pejabat PPZ MAIWP, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 15 DISEMBER 2021.

Berdasarkan rekod sejak penubuhan PPZ-MAIWP pada 1990 sehingga kini, Syed Ali yakin tidak mustahil untuk mencapai matlamat itu menerusi usaha berterusan memupuk kesedaran membayar zakat dalam kalangan penduduk Wilayah Persekutuan.

Dalam masa yang sama PPZ-MAIWP juga mendekati syarikat-syarikat atau organisasi besar yang mempunyai ramai pekerja dengan pendapatan yang lebih tinggi.

Beliau berkata, pada tahun lepas PPZ-MAIWP berjaya mengutip zakat sebanyak RM756 juta melebihi sasaran asal iaitu RM690 juta.

“Masa kita tubuh 1990, kutipan kita RM8 juta kalau kita bandingkan tahun 2020, kutipan kita RM756 juta. Tengok beza jumlah kutipan itu,” katanya.

Menurut beliau, dalam menjayakan kutipan zakat, perlu terlebih dahulu meyakinkan orang ramai tentang keberkesanan fungsi mereka dalam membantu para asnaf.

“Jadi bila ada keyakinan ini kita dapat lihat orang ramai, syarikat-syarikat tampil mengeluarkan zakat,” kata Syed Ali.

PPZ-MAIWP katanya, juga tanpa jemu ‘turun padang’ mengadakan pertemuan dengan syarikat-syarikat dan organisasi besar secara konsisten memberi penjelasan dan menggalakkan pembayaran zakat.

Syed Ali berkata, setiap bantuan PPZ-MAIWP bukan sekadar melepaskan batuk di tangga sebaliknya juga mahu memberi kesedaran terhadap kepentingan saling membantu antara satu sama lain.

Pada akhirnya menurut beliau, tidak mustahil satu hari kelak golongan asnaf atau mereka yang memerlukan bantuan Berjaya meningkatkan taraf hidup seterusnya menjadi pembayar zakat pula.
-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast