Oh Tong Keong (tengah) mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Parti Gerakan Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Parti Gerakan Pulau Pinang menggesa kerajaan negeri, khususnya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen, menyelesaikan isu pembinaan menara telekomunikasi yang membelenggu penduduk Gat Lebuh Macallum.

Pengerusinya, Oh Tong Keong berkata, isu pembinaan menara telekomunikasi di kawasan penempatan itu mengundangkan bantahan orang ramai, namun kerajaan DAP dilihat seolah-olah tidak peduli isu yang dibangkitkan, sebaliknya dilihat lebih memihak kepada pemaju.

Tong Keong turut membidas tindakan Daniel Gooi yang membuat tuduhan palsu terhadap parti Gerakan untuk mengalihkan fokus penduduk daripada isu sebenar yang dibangkitkan.

Oh Tong Keong (kanan).

“Dalam isu ini, Parti Gerakan hanya memainkan peranan sebagai pihak pembangkang yang berdiri bersama rakyat demi mempertahankan hak mereka.

“ADUN Pengkalan Kota semestinya sudah tahu Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) akan membina menara telekomunikasi, jadi mengapa beliau tidak memberitahu rakyat tempatan terlebih dahulu?

“Lebih mengecewakan Daniel Gooi bukan saja tidak mempertahankan hak rakyat yang memberinya mandat, sebaliknya mengeluarkan kenyataan yang memihak kepada pihak pemaju,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Gerakan, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Tong Keong berkata, pelbagai usaha dilakukan pihaknya bersama penduduk kawasan tersebut bagi memastikan menara telekomunikasi tidak dibina di penempatan penduduk.

“Kita telah serahkan petisyen kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; Ahli Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari serta ADUN Pengkalan Kota namun, tiada seorang wakil rakyat mengambil berat dan memberi respon terhadap isu yang dibangkitkan.

“Selain itu, pembantu ADUN berkenaan turut memberi alasan hari Sabtu adalah cuti awam maka mereka tidak dapat hadir ke sesi dialog yang dianjurkan oleh penduduk di Gat Lebuh Macallum bagi membincangkan pembinaan menara telekomunikasi itu,” kata beliau.

Tambah Tong Keong, pihaknya tidak membantah sebarang projek pembangunan teknologi kerana rakyat memerlukan perkhidmatan terbaik untuk memperolehi maklumat dengan kadar cepat, tetapi pembinaan menara telekomunikasi tidak perlu dibina di kawasan penduduk yang padat.

“Kita gesa kerajaan negeri Pulau Pinang untuk mendengar suara rakyat yang memberi mandat kepada mereka dengan memindahkan menara itu ke tempat yang sesuai,” jelas beliau.

Pada 7 Disember lalu MalaysiaGazette melaporkan, tindakan kerajaan negeri Pulau Pinang meluluskan projek pembinaan menara telekomunikasi berhampiran kawasan perumahan serta tempat riadah di Gat Lebuh Macallum, di sini, mendapat bantahan penduduk setempat.

Ia berikutan pembinaan yang didakwa tidak kena pada tempatnya itu dibimbangi boleh menjejaskan kesihatan untuk jangka masa panjang penduduk berdekatan berikutan projek tersebut mendatangkan kesan radiasi.

Selain itu, penduduk turut meluahkan rasa tidak puas hati susulan pembinaan itu dilakukan tanpa sebarang perbincangan dan di luar pengetahuan mereka. – MalaysiaGazette