Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menggesa agar Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak mendengar pandangan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul semata-mata dalam soal pengeluaran RM10,000 melalui skim i-Citra.

Pengarah Komunikasinya, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, Ismail Sabri perlu menyelami dan mendengar rintihan hati rakyat yang realitinya terdesak mahu meneruskan kelangsungan hidup mereka bersama keluarga.

“Dengan pengeluaran caruman KWSP terakhir ini, dapatlah rakyat terjejas merancang dan memulihkan kenderaan mereka untuk bekerja, menyediakan barangan peralatan keluarga serta membina kembali asas ekonomi mereka dengan baik.

“Gesaan ini bukanlah bersifat populis sebagaimana didakwa segelintir pihak, namun ianya tercetus atas sifat realistik dan tradisi UMNO yang mendahulukan kepentingan rakyat melebihi kepentingan politik, serta rasional kos sara hidup melambung baru-baru ini.

“Besarlah harapan bagi Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia kepada Perdana Menteri supaya mempertimbangkan semula kebenaran untuk mengeluarkan tabungan RM10,000 secara one-off i-Citra KWSP,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri mengumumkan kerajaan tidak bercadang membenarkan pengeluaran i-Citra RM10,000 buat kali kedua walaupun terdapat desakan politik selepas rakyat menghadapi bencana banjir yang melanda negara baru-baru ini.

Perdana Menteri berkata, alasan hendak membuka perniagaan akibat banjir tidak boleh diterima kerana pelbagai kemudahan kewangan telah diberikan kerajaan.

Negara baru-baru ini dikejutkan dengan bencana banjir yang boleh disifatkan terburuk dalam sejarah apabila banyak kawasan di Lembah Klang lumpuh ditelenggami air susulan fenomena musim Monsun Timur Laut.

Dalam pada itu, Kementerian Kewangan diminta untuk memahami kesengsaraan ekonomi rakyat belum pulih akibat pandemik Covid-19 dan kesan lain seperti fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang separuh masak sebelum ini.

“Ketika rakyat sedang berusaha membina kehidupan kembali, tiba-tiba banjir besar melanda dan meruntuhkan sekali lagi ekonomi keluarga mereka yang sedang dibina.

“Bantuan RM10,000 walaupun dapat melegakan sedikit bebanan, namun ianya tidak dapat menampung jumlah kerugian yang dialami mangsa-mangsa banjir berkenaan.

“Bantuan tunai itu sudah tentu tidak dapat menampung kos untuk mendapatkan barangan rumah yang “total lost” akibat banjir, apatah lagi membaikpulih kenderaan mereka yang dianggar melebihi RM4,000,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast