Wan Salim Wan Mohd Noor

GEORGE TOWN – Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor menggesa orang ramai tidak mempolemikkan isu penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak yang turut serta membersih kuil Hindu di Taman Kelang Utama, Klang, Selangor, baru-baru ini.

Kata beliau, isu berkenaan tidak perlu dibesar-besarkan sehingga menambah kekeliruan orang ramai.

Wan Salim berkata, tindakan itu menjadi manifestasi yang indah dan menarik bagi merealisasikan semangat Keluarga Malaysia yang penduduknya saling menghormati serta bertoleransi antara satu sama lain walaupun berbeza etnik, agama atau budaya.

“Tentu ada juga dalam kalangan rakyat negara ini yang berasa resah atau bimbang jika tindakan itu boleh menjejaskan akidah mereka yang terbabit ketika membersihkan tempat ibadat bukan Islam.

“Isu ini memang sensitif bagi kalangan masyarakat Islam yang komited kepada ajaran agama memandangkan sifat agama Islam itu sendiri yang tegak di atas Tauhid yakni kepercayaan kepada keesaan Tuhan dan melarang keras penyukutuan tuhan (syirik) dengan apa jua makhluk-Nya.

“Dalam Al-Quran juga terdapat ayat yang menyatakan bahawa syirik sama ada daripada di dalam kepercayaan atau ibadat, adalah dosa paling besar yang tidak akan diampun oleh Allah s.w.t,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Tambah Wan Salim, penjelasan perlu dilakukan oleh pihak berwajib supaya isu ini tidak berlarutan sehingga menimbulkan ketegangan dalam hubungan sesama warganegara Malaysia.

“Tindakan penuntut terbabit hanya amalan kebajikan tiada kaitan dengan kepercayaan atau upacara agama Hindu, yang seseorang Muslim dilarang menyertainya.

“Sehubungan itu, saya merayu kepada ilmuwan dan cerdik pandai supaya sentiasa berfikir dengan rasional mengenai sebarang tindakan yang hendak dilakukan.

“Ia adalah demi mengelakkan ia disalah faham atau diambil kesempatan oleh pihak berkepentingan bagi memecah belah perpaduan rakyat,” kata Wan Salim. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast