Pengasas MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bercakap pada sidang media berkenaan dengan laporan terkini Misi Banjir MUDA di Kampung Tunku, Petaling Jaya, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 27 DISEMBER 2021.

SUBANG JAYA – Kerajaan perlu bertanggungjawab atas kelemahan-kelemahan menguruskan banjir baru-baru ini.

Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, ini kerana jelas terdapat kesilapan- kesilapan yang dilakukan kerajaan dalam pengurusan bencana itu sehingga menyebabkan rakyat membuat kritikan secara terbuka.

Bagaimanapun ujarnya, parti pimpinannya enggan menggunakan pendekatan mengkritik, sebaliknya fokus untuk terus membantu rakyat khususnya mangsa banjir.

“Fokus kami di MUDA adalah untuk berkhidmat dengan itu daripada kita fokus mengkritik ini adalah masa terbaik untuk kita berganding bahu.

“Memang jelas kesilapan-kesilapan berlaku, dan mereka (kerajaan) perlu mengambil tanggungjawab tapi kami di MUDA fokus untuk berkhidmat sebab kita tidak cukup tangan daripada mengkritik, baik kita turun ke lapangan, sampaikan bantuan pastikan mangsa-mangsa dapat pembelaan sewajarnya berikan bantuan kepada mereka ditindas,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Malah katanya, rakyat tidak patut dipersalahkan terhadap bencana banjir yang berlaku baru-baru ini, sebaliknya keluhan mereka perlu menjadi keutamaan kerajaan.

“Kritikan itu saya rasa rakyat sudah banyak kongsikan, kita perlu mendengar keluh kesah rakyat, jangan sesekali salahkan rakyat, kata rakyat tidak dengar nasihat, tidak dengar teguran, tidak ikut perkembangan MET Malaysia.

“Jangan salahkan rakyat, mereka sekarang sudah berada dalam keadaan susah, hilang mata pencarian, peralatan hancur, rumah hancur, sekarang masa berganding bahu membantu mereka,” kata Syed Saddiq.

Mengulas lanjut Ahli Parlimen Muar itu berkata, dasar kerajaan pada hari ini perlu diperbaharui demi memastikan kesilapan menguruskan bencana banjir berulang pada masa akan datang.

“Pasca banjir ini akan ada banyak yang akan kita fokuskan lebih kepada cadangan-cadangan yang membina, apa yang kita boleh lakukan, penambahbaikan, pembaharuan dasar supaya perkara sebegini dan kesilapan begini tidak berlaku lagi pada masa akan datang,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast