Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor beramah mesra dengan sebahagian penduduk semasa melawat mangsa banjir di Hulu Langat, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 27 DISEMMBER 2021.

HULU LANGAT – Kerajaan negeri Kedah menggerakkan aset-asetnya bagi membantu mangsa-mangsa yang terjejas akibat banjir di beberapa kawasan di daerah Hulu Langat.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, langkah itu diambil sebagai timbal balas terhadap rakyat Selangor yang pernah menghulurkan bantuan ketika Kedah ditimpa musibah sebelum ini.

“Saya buat keputusan beberapa hari lepas untuk turun ke Selangor di samping kita beri bantuan kepada kerajaan negeri sebanyak RM200,000.

“Saya arahkan agensi bawah jabatan bawa petugas, bawa aset mai bawa jentera berat…kita ada pengalaman banyak kali masa tsunami.

“Masa tsunami dulu di Kuala Muda kita kena lumpur, dia lebih kurang macam inilah…kemudian kita kena banjir biasa 2010, kemudian kepala air di Yan baru-baru ini,” katanya ketika ditemui selepas membuat tinjauan terhadap mangsa banjir di Batu 20, di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, seramai 500 sukarelawan dikerahkan untuk misi bantuan berkenaan dan mereka terdiri daripada khidmat Malaysia dan juga Jabatan Amal parti Pas.

Malah katanya, agensi-agensi kerajaan termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kedah turut mengambil bahagian dalam membantu mangsa banjir di kawasan terbabit.

Tambahnya, sebanyak empat buah lori, dua buah jentolak digunakan bagi membantu kerja-kerja pembersihan kawasan dan kediaman mangsa banjir dan kesemua jentera itu merupakan aset-aset baharu.

Katanya lagi, sukarelawan dari negeri itu akan bertumpu di Batu 20, Hulu Langat sahaja selepas jadual disusun oleh penyelaras yang merupakan kerajaan Selangor.

Ujarnya, sukarelawan berkenaan akan berada di situ untuk menghulurkan khidmat mereka sehingga kesemua kerja-kerja pembersihan selesai. – MalaysiaGazette