Kebebasan wanita Afghanistan semakin terhad. foto TOI

KABUL – Wanita Afghanistan yang mahu melakukan perjalanan jauh melalui jalan raya hanya boleh ditawarkan pengangkutan jika ditemani oleh saudara lelakinya.

Arahan itu, yang dikeluarkan pada Ahad, adalah sekatan terbaharu terhadap hak wanita sejak kumpulan Islam itu menguasai negara tersebut pada Ogos lalu.

Majoriti sekolah menengah masih ditutup untuk perempuan, manakala kebanyakan wanita juga dilarang bekerja.

Arahan terbaharu yang dikeluarkan oleh Kementerian Penggalakan Kebajikan dan Pencegahan Maksiat Taliban berkata, wanita yang melakukan perjalanan sejauh lebih 45 batu (72 km) harus ditemani oleh ahli keluarga lelaki terdekat.

“Saya berasa sangat teruk.

“Saya tidak boleh keluar sendiri. Apakah yang perlu saya lakukan sekiranya saya atau anak saya sakit dan suami saya tidak ada?,” kata Fatima, seorang bidan yang tinggal di Kabul.

Dia menambah: “Taliban merampas kebahagiaan wanita .. Saya telah kehilangan kedua-dua – kemerdekaan dan kebahagiaan saya”.

Dokumen itu menyeru pemilik kenderaan untuk menolak membawa wanita yang tidak memakai penutup muka atau niqab, walaupun ia tidak menyatakan jenis tudung yang perlu digunakan.

Kebanyakan wanita Afghanistan bertudung.

Arahan itu turut mengharamkan muzik di dalam kenderaan.

Sejak mengambil alih kuasa dari tentera Amerika Syarikat dan sekutu, Taliban mengarahkan kebanyakan pekerja wanita untuk tinggal di rumah manakala sekolah menengah hanya dibuka kepada guru dan pelajar lelaki.

Taliban berkata, sekatan itu adalah “sementara” dan hanya dilaksanakan untuk memastikan semua tempat kerja dan persekitaran pembelajaran “selamat” untuk wanita dan kanak-kanak perempuan.

Semasa pemerintahan mereka sebelum ini pada 1990-an, wanita dilarang daripada mendapat pendidikan dan bekerja. – BBC