rivers water level warning The Langat River at Dengkil, Selangor. PIX: AFFAN FAUZI / MalaysiaGazette / 28 DECEMBER 2021
The Langat River at Dengkil, Selangor. PIX: AFFAN FAUZI / MalaysiaGazette / 28 DECEMBER 2021. Sungai Langat di Pekan Dengkil, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 28 DISEMBER 2021.

DENGKIL – Susulan banjir besar di beberapa kawasan di sini khususnya di Kampung Cemperai, Kerajaan Negeri Selangor melalui Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor (JPS) telah menyiapkan ban sungai sementara.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bagi mengelakkan limpahan Sungai Langat di sini berulang, pihaknya memperuntukkan sehingga RM2.8 juta bagi membaik pulih ban sungai mengikut keseriusan kawasan.

“Kos membaik pulih ban Sungai Langat di Kampung Cemperai ketika ini mencecah RM500,000 dan kita tengok kepada panjang sungai itu, setakat ban pendek itu saya rasa tidak sampai RM100,000 yang menjadi punca pecah.

“Saya nak mereka tengok sampai ke laluan hujung, sebab kita tak nak ban situ kita perbaiki, ban depan pula pecah, itu yang kita kena tengok semua.

“Kalau kawasan ban panjang, ia boleh mencecah sehingga RM2.8 juta, bergantung kepada laporan teknikal JPS,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin juga berkata, limpahan air Sungai Langat yang menenggelamkan Kampung Cemperai di sini sehingga 1.5 meter sejak 19 Disember lalu berlaku di luar jangkaan penduduk.

“Rata-rata penduduk ini menyifatkan banjir kali ini luar biasa, lazimnya kalau banjir biasa hanya setakat tahap betis atau lutut, tapi kali ini mencapai empat hingga lima kaki,” katanya.

Beliau turut tidak menafikan insiden ban sungai pecah antara faktor utama beberapa kawasan lain di Selangor ditenggelami air sejak 19 Disember lalu dan usaha membaik pulih tebing sungai giat dilakukan pihaknya.

“Kalau ban pecah ini kita ada kes di Kuala Selangor, Bukit Lanchong, Kampung Lombong, Bukit Changgang dan sebagainya yang kini banjir kilat ini telahpun surut,” katanya lagi. – MalaysiaGazette