TEMERLOH – Seorang pemandu menjadi mangsa penipuan bantuan banjir yang dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Superintendan Mohd Azahar Mohd Yusof berkata, mangsa yang membuat laporan polis telah menafikan memohon sumbangan kerana rumahnya tidak terkesan dengan banjir.

“Sebaliknya pihak ketiga bagai menanggung air yang keruh menggunakan alamat mangsa bagi meminta bantuan menerusi media sosial Facebook.

“Mangsa menyedari perkara itu selepas gambar dan maklumat alamat kediamannya menjadi pemohon sumbangan banjir yang melanda di Temerloh tular di media sosial,” katanya menerusi kenyataan.

Tambah Azahar, mangsa hadir ke balai membuat laporan polis kerana khuatir masyarakat terpedaya dengan perbuatan pihak tidak bertanggungjawab itu.

Polis telah mengambil tindakan dan membuka kertas siasatan kes berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan kerana ada unsur penipuan.

Menerusi entri yang dimuat turun itu mendakwa mangsa terlibat banjir dan memerlukan bantuan banjir berikutan kehilangan upaya kekal dan kematian isteri sejak 10 bulan lalu. – MalaysiaGazette