Rina Mohd. Harun.

KUALA LUMPUR – Suami kepada selebriti sensasi Nora Danish iaitu Nedim Nazri Aziz menegur tingkah laku segelintir netizen yang tergamak menyunting laman Wikipedia Menteri Pembangunan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun dengan perkataan tidak senonoh.

Nedim atau nama sebenarnya, Nedim Sujak Nazri Aziz menerusi Twitter berkata, menyunting laman Wikipedia Ahli Parlimen Titiwangsa itu dengan menokok tambah perkataan disifatkan lucah bukanlah sesuatu yang kelakar.

“Pergi ke Wiki-nya dan menyunting benda mengarut seperti dipaparkan tidak kelakar wahai kalian semua.

“Jangan buat perkara seperti itu. Kalau sampai tahap begini kalian bertindak dengan menyunting Wikipedianya, kalian memang ada masalah otak,” tulisnya menerusi satu ciapan Twitter.

Hal ini kerana, apa yang dilakukan itu boleh disabitkan atau disifatkan sebagai gangguan seksual.

“Ini (apa yang kalian lakukan) boleh disifatkan sebagai gangguan seksual. Tolong hentikan,” ciapnya.

Kelmarin, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerusi satu kenyataan menjelaskan, tindaka Rina menggunakan alat penyembur air bagi misi bantuan banjir adalah untuk membersihkan kesan najis unggas dan cicak yang dilaporkan sukar dicuci sebelum ini.

Rina turut menjadi mangsa ‘troll’ media sosial apabila ramai golongan celik platform digital tersebut mengesan dan membongkar ciapan-ciapan lamanya dalam Twitter sewaktu sebelum aktif berkecimpung dalam dunia politik. – MalaysiaGazette