Pelaksanaan UPKK pada 15 hingga 30 Nov lepas itu membabitkan 464,605 calon iaitu 222,528 murid tahun enam tahun 2020 dan 242,077 murid tahun lima tahun 2021, melibatkan lapan mata pelajaran yang diuji dalam bentuk amali dan lisan oleh guru KAFA.

Lapan mata pelajaran itu terdiri daripada Amali Solat, Penghayatan Cara Hidup Islam, Al-Quran, Ulum Syariah (Akidah/Ibadah), Sirah, Adab, Jawi dan Khat; serta Lughah Al-Quran.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Hakimah Mohd Yusoff dalam kenyataan hari ini berkata, Amali Solat mencatatkan pencapaian 97.40 peratus, Penghayatan Cara Hidup Islam 96.06 peratus dan Al-Quran mencapai 96.89 peratus lulus.

“Pencapaian ini sekali gus mencapai objektif penilaian yang telah ditetapkan dengan kejayaan pelajar dalam menguasai ibadat solat, Tilawah Al-Qur’an dan mengamalkan cara hidup Islam dalam kehidupan seharian,” katanya.

Peratusan kelulusan bagi mata pelajaran Ulum Syariah (Akidah & Ibadah) pula ialah 96.74 peratus, Jawi dan Khat (94.77 peratus), Sirah (93.21 peratus), Adab (96 peratus) dan Lughatul Quran (91.91 peratus).

“Kejayaan bukan diukur melalui bilangan A dan peperiksaan semata-mata tetapi ia diterjemahkan melalui amalan dan cara hidup serta pembudayaan nilai-nilai yang telah dipelajari di kelas KAFA dalam kehidupan seharian,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad pada 23 Sept lepas mengumumkan peperiksaan untuk subjek bertulis UPKK bagi calon 2020 dan 2021 digantikan dengan pelaksanaan berbentuk penilaian sepenuhnya.

Hakimah berkata, buat kali pertama berikutan suasana Pelan Pemulihan Negara (PPN) secara berfasa, pelaksanaan berbentuk penilaian dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Beliau berkata calon-calon boleh menyemak keputusan UPKK 2021 bermula pukul 11 pagi hari ini sehingga 11 Jan 2022 dengan melayari laman web Sistem Maklumat Pendidikan Islam (SIMPENI) di capaian simpeni.islam.gov.my.

Keputusan juga boleh disemak melalui khidmat pesanan ringkas dengan menaip UPKKNoKadPengenalan/NoPengenalanKhas dan hantar ke 15888.

“Slip keputusan rasmi hanya boleh dimuat turun pada tarikh dan tempoh masa yang telah ditetapkan. Ibu bapa disarankan agar menyemak dan memuat turun keputusan yang muktamad dalam tempoh semakan tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette