Seramai 4,000 pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) menerima manfaat melalui program sumbangan Food@Campus Keluarga Malaysia Keluarga UMP.

KUANTAN – Seramai 4,000 pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) menerima manfaat melalui program sumbangan Food@Campus Keluarga Malaysia Keluarga UMP.

Ia hasil inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mulai tahun depan menerusi kemudahan Kupon Makan.

Menurut Prof Datuk Dr Yuserrie Zainuddin yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMP berkata, kemudahan Kupon Makan itu menyasarkan pelajar daripada keluarga golongan B40 dan kurang berkemampuan.

“Agihan  kupon ini melibatkan peruntukan berjumlah RM260,000  dengan lebih 56,000 kupon makanan sebagai tanda keprihatinan universiti bagi mengurangkan beban pelajar.

“Pelajar yang kesempitan menggunakan aplikasi Adab@UMP yang membolehkan mereka mendapatkan makanan secara percuma bagi yang layak di kafeteria kampus,” katanya.

Menurut Yuserrie, seiring dengan hasrat universiti ke arah kampus digital, pelajar UMP bakal mengadaptasi kemudahan UMP Kasih iaitu Kupon Makan yang dimuaturun melalui aplikasi.

Selain itu, katanya pelajar yang mempunyai masalah kewangan sehingga kesempitan atau ketiadaan wang untuk makan dengan alasan yang munasabah juga layak menerima kemudahan ini.

“Ini terutamanya yang terkesan akibat pendemik Covid-19 dan mereka yang terjejas dengan musibah banjir baru-baru ini,” katanya selepas melancarkan aplikasi Adab@UMP di sini hari ini.

Dalam pada itu, Yayasan UMP turut menyediakan bantuan Khas Covid-19,  kemudahan pembelajaran seperti komputer riba dan pelan data internet untuk meringankan beban pelajar dalam meneruskan pengajian norma baharu.

Cakna dengan kebajikan pelajar pihak Jabatan Hal Ehwal Pelajar juga turut menyediakan khidmat e-Kaunseling dan lain-lain bagi membantu pelajar agar tidak menjejaskan pengajian mereka. -MalaysiaGazette