rakyat menantikan kedatangan tahun baharu dengan penuh pengharapan selepas diuji dengan pelbagai masalah baik Covid-19 dan banjir tahun ini.-Gambar hiasan. Foto MOHD ADZLAN.

KUALA LUMPUR – Tahun 2021 bakal melabuhkan tirainya dua hari lagi.

Justeru, rakyat menantikan kedatangan tahun baharu dengan penuh pengharapan selepas diuji dengan pelbagai masalah baik Covid-19 dan banjir tahun ini.

Tinjauan MalaysiaGazette sekitar ibu negara mendapati, harapan tahun setiap individu ditemui berbeza-beza mengikut impian masing-masing.

Antara aspek utama yang ditekankan ialah mahu kerajaan mengawal peningkatan harga barangan, meningkatkan taraf kesihatan, pengurusan serta kestabilan politik.

Seorang pekerja swasta, Mohd Hisham Ahmad, 37, berharap negara dapat memiliki sebuah kerajaan yang lebih stabil, makmur dan dapat menjaga kepentingan rakyat.

Mohd Hisham Ahmad

“Dari segi politik biarlah betul-betul stabil dan tiada kerenah birokrasi yang melampau, kalau boleh pemerintahan negara biarlah memakmurkan dan menjaga rakyat bukan rakyat kena jaga rakyat sahaja kerana kita yang mengundi mereka,” katanya ketika ditemui hari ini.

Dalam masa sama, Mohd Hisham berharap ekonomi negara menjelang tahun 2022 dapat memberi lebih banyak peluang kepada rakyat selepas mereka mengharungi pelbagai episod bencana alam dan kesihatan.

“Ramai rakyat sengara dalam menyara kehidupan, kita harap adalah peluang yang lebih baik pada tahun hadapan buat mereka,” ujarnya.

Sementara itu, seorang pekerja bebas, Abd Rahim Anas, 65, berpandangan senario politik di negara ini perlu berubah ke arah lebih baik.

Abd Rahim Anas

Ini kerana kerajaan yang dipilih perlu mengutamakan dan mengambil serius setiap masalah yang dihadapi rakyat.

“Boleh dikatakan ramai yang pentingkan diri daripada pentingkan rakyat, contohnya dalam situasi banjir yang berlaku baru-baru ini.

“Jangan terlalu banyak retorik, pengumuman juta-juta atau berbilion atau banyak bercakap sahaja tapi kesannya tak pernah nampak sama ada apa yang dilaksanakan betul-betul bermanfaat atau sebaliknya,” katanya.

Manakala, Shahrin Ishak, 55, berpendapat banyak perkara yang perlu diperbaiki oleh kerajaan dalam pentadbiran terutamanya ketika negara berhadapan dengan wabak atau bencana alam.

Shahrin Ishak

“Terutamanya banjir baru-baru ini, banyak nyawa yang terkorban kerana dipercayai bantuan yang lambat sampai. Banyak yang perlu diperbaiki kerana (tugas) kerajaan kenalah bantu rakyat,” katanya.

Tambah Shahrin, sebagai seorang peniaga dia berharap kerajaan melalui kementerian berkaitan dapat mengawal kos kenaikan harga barang pada tahun depan.

“Tengok macam saya berniaga ayam goreng, memang harga barang basah tinggi dan kementerian kalau boleh lihat semula apa yang boleh ditambah baik supaya dapat membantu rakyat,” ujarnya.

Seorang lagi peniaga yang mahu dikenali sebagai Aznura, 33, berkata, sebolehnya berharap negara dapat keluar dari cengkaman pandemik Covid-19 yang sudah hampir dua tahun membelenggu kehidupan rakyat.

Aznura

Ini kerana, katanya, rakyat mahu hidup bebas seperti dahulu dan senang untuk ke mana sahaja.

“Tak banyak yang diharap cuma kalau boleh mahu negara pulih dari wabak Covid-19 ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast