Ahmad Yakob

PASIR MAS – Projek tebatan banjir Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok di Rantau Panjang yang dijangka siap pada suku ketiga 2024 mampu mengelak masalah banjir termenung dan bah besar di kawasan itu pada masa hadapan.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, biarpun mengambil masa untuk disiapkan kerana melibatkan beberapa fasa pembinaan, pihaknya berusaha mempercepat pelaksanaan projek tersebut.

“Kita tidak boleh menjalankan projek tebatan ini secara serentak dan pada masa sekarang, kita berikhtiar untuk mempercepat di mana-mana ruang yang boleh supaya tidak berlaku banjir besar (dalam tempoh pembinaan projek).

“Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan yang bertanggungjawab melaksanakan projek itu telah mengambil langkah segera termasuk mengkaji pelbagai pendekatan yang boleh diambil bagi mengatasi masalah banjir,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menyampaikan Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada 152 ketua isi rumah yang terjejas banjir di Rantau Panjang, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Ahmad menafikan dakwaan tular menerusi Facebook mengenai wujudnya kegiatan pembalakan haram di Hutan Simpan Kekal (HSK) Sungai Durian di Kuala Krai.

“Pembalakan itu sudah ada lesen, cuma mungkin apa yang dilihat (dalam video yang tular) adalah aktiviti pemindahan dan ia sudah diluluskan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang ditemui pemberita selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kota Bharu berkata, semua pangkalan hadapan di negeri ini sudah berada dalam mod sedia untuk menghadapi gelombang kedua banjir yang dijangka berlaku esok dan Jumaat.

“Setiap tahun memang kerajaan negeri membuat persediaan dalam menghadapi banjir seperti mewujudkan jawatankuasa khas, menyediakan bekalan dan mengenal pasti pangkalan-pangkalan hadapan untuk bekalan kepada mangsa banjir.

“Untuk banjir gelombang kedua ini, kita memang sudah bersedia apatah lagi selepas melihat apa yang berlaku di Selangor. Namun dengan pengalaman banjir besar pada 2014 dan kerjasama daripada pelbagai agensi, kita akan cuba lakukan yang terbaik sekiranya berlaku banjir besar,” katanya. – Bernama