MUDA DAP political coalition GE15 Johor state election politics Malaysian United Democratic Alliance
Pengasas Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersama sebahagian daripada penyokong yang hadir selepas selesai menyerahkan surat peguam di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, Putrajaya pada 21 Disember 2020.

KUALA LUMPUR – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) akhirnya secara rasmi telah mendapatkan kelulusan pendaftaran sebagai sebuah parti politik daripada Pertubuhan Pendaftaran (RoS).

Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, kelulusan itu diberikan RoS pada 23 Disember lalu.

“Kita telah menerima berita baik pada minggu lalu, cuma kami tidak mahu memfokuskan soal ini kerana mahu tumpu membantu mangsa banjir. Tidak mahu berita politik menenggelamkan masalah banjir dihadapi rakyat.

“Saya ucapkan terima kasih kepada institusi kehakiman negara kerana mengamalkan prinsip pengasingan kuasa seperti dalam Perlembagaan Persekutuan dan juga kepada kerajaan Malaysia yang tidak merayu keputusan Mahkamah Tinggi terhadap pendaftaran Muda,” katanya dalam sidang akhbar secara dalam talian hari ini.

Jelas Syed Saddiq lagi, Muda juga telah menerima surat rasmi pendaftaran sebagai sebuah parti berdaftar semalam.

Mahkamah Tinggi pada 13 Disember lalu mengarahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) membenarkan Muda didaftarkan sebagai parti politik dalam tempoh 14 hari dan membayar kos guaman sebanyak RM10,000.

Muda sebelum ini mengheret kerajaan menerusi Kementerian Dalan Negeri dengan mengambil tindakan undang-undang untuk mencabar keputusan menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang menolak rayuan kumpulan itu untuk didaftarkan sebagai sebuah parti politik.

Dalam pada itu, Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar berkata, Muda setakat ini sudah menerima lebih 60,000 pendaftaran ahli yang dibuat seratus peratus dalam talian.

“Ia adalah sistem pentaftaran yang telus. Tidak guna kita namakan parti Muda tetapi proses pendaftarannya ada birokrasi yang sangat tinggi dan perlu dapat kebenaran daripada warload, tidak,” katanya. – MalaysiaGazette