Polis Kontinjen Selangor membantu menjalankan kerja-kerja mencuci dan membersihkan Sekolah Agama Maahad Tahfiz Bustanul Arifin, Banting Selangor yang terjejas akibat banjir.- Gambar ihsan IPK Selangor.

KUALA LUMPUR – Tugas Polis Diraja Malaysia (PDRM) bukan sekadar mengawal ketenteraman dan mencegah jenayah sahaja.

Malah mereka juga mempunyai tanggungjawab sosial terhadap masyarakat termasuk ketika rakyat dilanda musibah khususnya banjir terburuk baru-baru ini.

Polis Kontinjen Selangor seperti contoh telah menggabungkan tenaga dan kekuatan anggota dan pegawainya turun ke lapangan menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir dan membaiki bangunan yang rosak.

Di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam turun ke lapangan membersihkan bangunan, premis dan kemudahan awam yang dilanda banjir lumpur.

Mereka juga meggembleng tenaga memasak untuk menyediakan makanan kepada keluarga yang terjejas di negeri itu.

Pihak Polis menjalankan kerja-kerja pembersihan di sekitar sekolah di Taman Sri Muda, Shah Alam yang terjejas akibat banjir.Gambar Ihsan IPK Selangor

Semalam Polis IPK Selangor menerusi kerjasama dengan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti serta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) melaksanakan bantuan membersihkan kawasan dan bangunan Sekolah Agama Maahad Tahfiz Bustanul Arifin, Banting.

Operasi pembersihan melibatkan seorang pegawai kanan dan 14 anggota Polis IPK Selangor bersama 95 orang NGO dalam usaha meringankan beban mangsa.

Polis Kontinjen Selangor membantu menjalankan kerja-kerja mencuci dan membersihkan Sekolah Agama Maahad Tahfiz Bustanul Arifin, Banting Selangor yang terjejas akibat banjir.Foto Ihsan IPK Selangor

Mereka juga membantu penduduk membuang barangan yang rosak selain membersihkan rumah.

Ia tepat dengan tema Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada yang disambut pada setiap Hari Polis selain melindungi dan menjaga keselamatan, pihaknya juga sentiasa terbuka dalam memberikan bantuan kemasyarakatan setiap kali diperlukan khidmat mereka khususnya sewaktu musibah.

Ia sekaligus dapat mengeratkan lagi hubungan diantara pihak Polis bersama masyarakat.

Justeru, seramai empat pegawai dan 104 anggota yang terdiri daripada Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Cheras, Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Sg Senam, Ipoh, Pasukan Gerakan Am (PGA), Batalion 6 dan Pasukan Gerakan Am (PGA), Batalion 4 turut membantu melakukan operasi pembersihan yang terjejas akibat banjir.

Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) menjalankan kerja-kerja pembersihan di sekitar sekolah di Taman Sri Muda, Shah Alam yang terjejas akibat banjir. Gambar Ihsan IPK Selangor

Operasi pembersihan ini telah dijalankan di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Sri Muda dan SK Taman Sri Muda 2, Shah Alam, Selangor dengan menggunakan dua buah jentera water cannon bagi melancarkan lagi kerja-kerja pembersihan di kawasan sekolah tersebut.

Sementara di Klang, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Vijaya Rao Samachulu telah menyempurnakan majlis penyerahan sumbangan makanan asas kepada warga kerja Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara yang terjejas dalam bencana banjir semalam.

ACP Vijaya menyampaikan sumbangan kepada warga IPD Klang Utara yang terkesan akibat banjir di Klang semalam.

Sumbangan berbentuk keperluan asas itu telah disumbangkan oleh Pengerusi Semangat Deligasi Sdn. Bhd, Datuk Seri G. Thirumurugan dan Pengurus Divisyen Sdn. Bhd. Mohd Mahrus Mohd Faizal yang melibatkan seramai 46 orang warga kerja IPD Klang Utara yang terdiri daripada pegawai kanan polis, anggota polis serta pegawai awam yang terkesan akibat bencana banjir.

Warga kerja IPD Klang Utara bergotong royong menyediakan makanan untuk diagihkan kepada pegawai kanan, anggota dan pegawai awam IPD Klang Utara yang terjejas banjir.Gambar Ihsan IPK SelangorSelain itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara telah menganjurkan program memasak untuk diagihkan kepada warga kerjanya yang terkesan akibat bencana banjir.

Program itu cetusan idea Vijaya Rao sendiri sebagai inisiatif meringankan beban pegawai kanan, anggota dan pegawai awam IPD Klang Utara yang menjadi mangsa banjir baru-baru ini.

Masakan disediakan secara gotong royong oleh warga IPD Klang Utara diagihkan kepada 110 warga kerjanya yang melibatkan 500 ahli keluarga secara keseluruhannya yang terjejas akibat banjir.. – MalaysiaGazette