Seorang pegawai polis menggunakan hos bomba membersihkan kesan lumpur akibat banjir di Sungai Lembing hari ini.

KUANTAN – Kerja-kerja pembersihan pasca banjir masih diteruskan di beberapa lokasi di daerah ini yang terjejas dengan banjir.

Tinjauan MalaysiaGazette ke Sungai Lembing dekat sini melihat kerja-kerja pembersihan memasuki hari ketujuh hari ini dan masih belum siap sepenuhnya.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pihaknya hari ini menerusi Op Pasca Banjir menggunakan semburan hos ke longkang bagi membuka laluan dan menolak selut yang bertakung.

Seorang penduduk, Long York Leow (kiri) bersama seorang pegawai polis semasa kerja-kerja pembersihan pasca banjir di Sungai Lembing hari ini.

Malah beliau sendiri turut bersama-sama memikul hos membersihkan kesan banjir di kawasan Sungai Lembing.

Manakala 15 anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan Dan Balai Polis Sungai Lembing juga membantu menolak aliran longkang dan parit tersumbat selut menggunakan penyodok.

“Inisiatif bersama anggota diambil kerana laluan utama Sungai Lembing ini terkesan teruk dan memerlukan kudrat ramai untuk membersihkan kawasan ini.

“Sehingga kini kami terima laporan daripada 4,299 kediaman dan premis membuat aduan berkenaan kerosakan harta benda akibat banjir di sekitar Kuantan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Wan Mohd Zahari, aktiviti pembersihan juga dilakukan secara gotong-royong bersama penduduk kampung bagi membersihkan kawasan premis termasuk jalan utama memasuki Sungai Lembing.

Salah seorang penduduk, Long York Leow, 55, berkata, bantuan yang dihulurkan oleh pasukan polis dan sukarela membantu mereka membersihkan kawasan sangat dihargainya.

“Jika pihak polis dan sukarelawan tidak datang membantu mencuci membersihkan kawasan ini, proses nak cuci ambil masa lagi, terima kasih datang bantu.

“Sudah berhari-hari cuci pun belum selesai kerana lumpur dan selut bercampur dan dalamnya kira-kira sekaki sehingga menyukarkan kerja pembersihan,” katanya.

York Leow berkata, semasa hujan lebat pada 18 Disember lalu, premis ditenggelami air banjir lebih tiga meter dalam tempoh dua jam sahaja.- MalaysiaGazette.