Exco Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Zawawi Ahmad Mughni bercakap kepada media selepas melancarkan Konvensyen Halal Antarabangsa Selangor di Hotel Mardhiyyah, Shah Alam. Foto FAREEZ FADZIL, 29 DISEMBER 2021.

SHAH ALAM – Tidak timbul pertindihan bidang kuasa antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan Jawatankuasa Tetap Industri Halal Selangor daripada segi pensijilan halal di negara ini.

Exco Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, walaupun Jakim bertanggungjawab mengeluarkan sijil halal, namun Jais bertindak membuat pengesahan halal dan hal ehwal pematuhan.

“Isu-isu berkaitan halal di bawah kuasa negeri, Jakim sebagai pihak yang merangkaikan negeri-negeri, jadi kita yang melaksanakan audit melalui Jais dan sijil (halal) dikeluarkan oleh Jakim sebab dia mewakili negara.

“Kalau negara luar, dia hanya akan ada satu logo sahaja, logo halal Jakim, tapi yang melaksanakan audit ialah peringkat negeri, jadi ia tidak bertindih (kuasa),” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Konvensyen Halal Antarabangsa Selangor (SELHAC2021) di Mardhiyyah Hotel & Suites.

Dalam pada itu, Zawawi juga mengakui proses pemberian sijil halal kepada 1,000 usahawan di negeri itu tertangguh disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

“Ketika ini ada seramai 4,000 pemegang sijil halal di Selangor, dan 1,000 lagi permohonan masih dalam proses. Sebenarnya yang jadi lambat itu sebab PKP yang lepas.

“Jadi pegawai-pegawai tidak dapat turun ke premis secara fizikal untuk membuat tinjauan lapangan, membuat audit di premis yang mereka ada.

“Insya-Allah tahun hadapan kalau pandemik ini semakin kurang kes, pegawai akan banyak masa untuk melihat dan meneliti permohonan sijil halal ini,” katanya. – MalaysiaGazette